Sepp Blatter berdepan media 20 Julai ini

Sepp Blatter berdepan media 20 Julai ini

ZURICH, 14 Julai (Reuters) – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter bakal bertemu dengan wakil media pada 20 Julai ini, kali pertama sejak mengumumkan peletakan jawatan sebagai pemimpin badan induk bola sepak dunia itu.

Blatter dan Setiausaha Agung, Jerome Valcke bakal menghadiri sidang media itu selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif yang bakal menetapkan mesyuarat agung luar biasa FIFA dan pemilihan presiden.

Pada usia 79 tahun, Blatter dipilih semula bagi penggal kelima sebagai Presiden FIFA pada 29 Mei lalu, namun mengumumkan akan meletak jawatan dan bakal mengadakan proses pemilihan baharu tanpa bertanding semula.

Pengumuman itu hadir tatkala FIFA sedang huru hara selepas 14 eksekutif pemasaran sukan dan pegawai bola sepak, termasuk beberapa daripada FIFA, didakwa di Amerika Syarikat pada lewat Mei lalu atas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan penipuan membabitkan lebih AS$150 juta.

Tujuh daripada yang didakwa itu ditahan polis Switzerland dalam serbuan di sebuah hotel mewah dua hari sebelum Kongres FIFA berlangsung yang menyaksikan Blatter dipilih semula.

Sepp Blatter (dua kanan) semasa melawat projek pembangunan Muzium FIFA di Zurich 25 Jun lalu. – Reuters
Sepp Blatter (dua kanan) semasa melawat projek pembangunan Muzium FIFA di Zurich 25 Jun lalu. – Reuters

Menurut kenyataan Pejabat Kehakiman Persekutuan Swiss (FCOJ) 27 Mei lalu, enam pegawai itu kini ditahan menunggu untuk diekstradisi ke Amerika.

New York Times melaporkan mereka adalah pegawai kanan FIFA yang berada di Switzerland untuk Kongres FIFA dengan Presiden pertubuhan itu, Sepp Blatter menghadapi cabaran Putera Ali Al Hussein dari Jordan dalam pemilihan presiden Jumaat ini.

“Pihak berkuasa Amerika mengesyaki mereka menerima rasuah berjumlah jutaan ringgit. Waran tangkap dikeluarkan berikutan permintaan daripada pihak berkuasa Amerika. Jabatan Pendakwaraya Eastern District di New York sedang menyiasat mereka kerana disyaki menerima rasuah sejak awal 1990-an hingga sekarang.

“Pemberi rasuah terbabit iaitu wakil media dan firma mempromosi sukan terbabit dalam skim membuat bayaran kepada pegawai bola sepak termasuk delegasi FIFA serta pertubuhan berkaitan FIFA berjumlah lebih AS$100 juta,” demikian menurut laporan hujung Mei lalu.

ARTIKEL YANG SAMA