Sepuluh sungai lubuk buaya ganas dikenal pasti di S’wak

Sepuluh sungai lubuk buaya ganas dikenal pasti di S’wak

MIRI, 13 Okt – Sarawak mengenal pasti 10 sungai yang mempunyai kepadatan tinggi populasi buaya hingga menyebabkan kejadian serangan buaya sering berlaku di negeri ini.

Sungai berkenaan ialah Sungai Batang Sadong, Sungai Tuang, Sungai Batang Kerian, Sungai Seblak, Sungai Linga, Sungai Sebuyau, Sungai Batang Lupar, Sungai Batang Saribas, Sungai Batang Baram dan Sungai Bakong.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Ahmad Sapuan berkata berdasarkan rekod terkini dari Januari hingga September tahun ini, sebanyak lapan serangan buaya dengan tiga kematian dilaporkan di Sarawak.

“Pada 2015, sebanyak 13 kes serangan buaya dilaporkan dengan lapan kematian,”katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan pengusaha sarang burung walit Miri serta agensi dan jabatan berkaitan dengan industri itu di sini, hari ini.

Beliau berkata kajian terperinci mengesan 2,236 ekor buaya di 45 sungai sepanjang 2,108.3 kilometer di Sarawak. – Bernama