Serah anak beruk ke jabatan hidupan liar Sandakan

Serah anak beruk ke jabatan hidupan liar Sandakan

SANDAKAN, 16 Nov – Jabatan Hidupan Liar Sandakan hari ini menerima seekor anak beruk berusia dua bulan daripada orang awam yang menemui binatang dilindungi itu di ladang kelapa sawit keluarganya di Kampung Tanjung Pisau dekat sini.

Ahmad Yassier Daning menyerahkan anak beruk itu jenis Pig-Tailed Macaque (Macaca nemestrina) di pejabat jabatan itu dan diterima oleh Ketua Unit Penguat kuasa Richard Jaikim.

Beliau menemui anak beruk itu pada Isnin lepas dan ingin memeliharanya.

Atas nasihat rakannya yang memaklumkan bahawa, adalah menjadi kesalahan memelihara beruk yang merupakan binatang dilindungi, Ahmad Yassier mengambil keputusan menyerahkan anak beruk itu kepada Jabatan Hidupan Liar.

Pegawai Hidupan Liar Sandakan Hussein Muin berkata anak beruk itu akan dihantar ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok untuk jagaan sebelum dilepaskan di kawasan Hutan Simpan Sepilok.

Seseorang yang memelihara binatang yang dilindungi boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. – Bernama