Serah terima tugas Pemerintah TUDB

Serah terima tugas Pemerintah TUDB

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), hari ini, menerima pucuk pimpinan baru iaitu Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei.

Sehubungan itu, upacara serah terima tugas bagi Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei di antara Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi bin Haji Abdul Latip dan Kolonel (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, berlangsung di Padang Kawad Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei, Rimba dengan pelantikan pemerintah baru itu berkuat kuasa bermula 26 September.

Hadir di upacara berkenaan ialah penasihat-penasihat pertahanan negara-negara sahabat di Negara Brunei Darussalam, para pegawai kanan bersama isteri masing-masing, pegawai dan anggota serta kakitangan awam TUDB.

Majlis bermula dengan Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi memeriksa Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota TUDB dan seterusnya menyampaikan ucapan terakhirnya sebelum menandatangani sijil dan menyempurnakan penyerahan tugas kepada Kolonel (U) Shahril Anwar.

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi merupakan Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei ke-12 sejak 7 Disember 2012.

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi memeriksa perbarisan.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi memeriksa perbarisan.
Kolonel (U) Shahril Anwar memeriksa perbarisan.
Kolonel (U) Shahril Anwar memeriksa perbarisan.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi dan Kolonel (U) Shahril Anwar menandatangani dan bertukar-tukar dokumen serah terima tugas Pemerintah TUDB.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi dan Kolonel (U) Shahril Anwar menandatangani dan bertukar-tukar dokumen serah terima tugas Pemerintah TUDB.

Beliau menyertai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sebagai perintis di dalam Askar Muda dari 1982 hingga 1983 kemudian ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada Disember 1984 selepas menamatkan latihan dengan jayanya di Akademi Tentera Udara, Royal Air Force College, Cranwell, United Kingdom.

Dalam tempoh 31 tahun perkhidmatannya, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi telah memegang pelbagai jenis jawatan di dalam ABDB dan juga Kementerian Pertahanan.

Ini termasuk, Timbalan Pegawai Turus Pentadbiran, Timbalan Pegawai Turus Gerakan, Pemerintah Skuadron No. 5 Skuadron di Cawangan Gerakan, Timbalan Pegawai Turus kepada Pemerintah ABDB, Pembantu Tentera kepada Pemerintah ABDB dan Pegawai Pemerintah Cawangan Gerakan TUDB.

Pada tahun 2007, beliau telah dilantik sebagai Atase Pertahanan Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China. Pada tahun 2011, beliau telah memegang jawatan Pengarah Keanggotaan dan kemudiannya pada 7 Disember 2012, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi mula menjawat jawatannya sekarang iaitu sebagai Pemerintah TUDB.

Dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada 24 Mei 2014, beliau telah dinaikkan pangkat kepada Brigedier Jeneral.

Perbarisan bergerak dalam masa perlahan dan cepat.
Perbarisan bergerak dalam masa perlahan dan cepat.

Beliau juga telah dianugerahkan dengan sebilangan pingat yang termasuk SMB, PJP KDYMM, PJB ABDB, PKLPB, PKMdkn, GSM, PCM (PLA Commemorative Medal), selain itu Lencana Juruterbang Kehormat daripada Massey Air University New Zealand (1995), Tentera Udara Indonesia – Angkatan Udara (1997) dan Tentera Udara Republik Singapura (2013).

Semasa perkhidmatan beliau sebagai Atase Pertahanan kepada Negara Brunei Darussalam di Beijing, Republik Rakyat China, beliau telah dianugerahkan Pingat PCM sebagai penghargaan terhadap usaha beliau dalam menguatkan hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.

Dalam tahun 2014, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi telah dikurniakan Pingat Jasa Gemilang (Tentera) dalam sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan penting beliau di dalam memelihara dan mempertingkatkan lagi hubungan pertahanan di antara TUDB dan Tentera Udara Republik Singapura. Sementara itu, Kolonel (U) Shahril Anwar mengambil alih pucuk pimpinan sebagai Pemerintah TUDB ke-13 setelah menjadi Timbalan Pemerintah TUDB sejak 19 Disember 2014.

Beliau menyertai ABDB pada bulan Januari 1986 dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada Oktober 1986 selepas menamatkan latihan di Akademi Tentera Udara, Royal Air Force College, Cranwell, United Kingdom.

ARTIKEL YANG SAMA