Seramai 30 pelajar terima Skim Fidyah MKM

Seramai 30 pelajar terima Skim Fidyah MKM

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), hari ini, telah melancarkan Skim Fidyah iaitu skim bantuan pemakanan bagi seramai 30 orang lagi pelajar dari Sekolah Rendah Pintu Malim, pada majlis yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Unit Miftahun Naajah, Bahagian Pentadbiran, Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Mustapa bin Haji Masri.

Beliau dalam ucapannya melahirkan perasaan setinggi-tinggi penghargaan terhadap usaha kolaborasi yang dianjurkan oleh pihak MKM bersama Tatuan Yusof Halim & Partners (Bahagian Syariah) kerana melibatkan pihak sekolah yang sangat relevan dalam sama-sama mendokong hasrat Wawasan Negara 2035.

Haji Mustapa menyarankan para ibu bapa dan penjaga pelajar supaya dapat menggunakan skim bantuan ini sebagai dorongan untuk anak-anak agar terus tekun belajar hingga mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru para pelajar agar menghargai usaha-usaha seumpama ini dan menjadikannya sebagai motivasi dalam meningkatkan usaha ke arah pencapaian pendidikan yang cemerlang.

Haji Mustapa (tiga, kanan) Awang Yusof bersama guru-guru Sekolah Rendah Pintu Malim.
Haji Mustapa (tiga, kanan) Awang Yusof bersama guru-guru Sekolah Rendah Pintu Malim.
Awang Yusof semasa menyempurnakan penyampaian kad pengesahan kepada penerima-penerima Skim Fidyah.
Awang Yusof semasa menyempurnakan penyampaian kad pengesahan kepada penerima-penerima Skim Fidyah.

Manakala itu, Ketua Bahagian Fidyah MKM, Awang Yusof bin Halim dalam ucapannya pula menjelaskan bahawa skim bantuan pemakanan ini telah dijalankan sejak bulan Januari 2014 di Sekolah Rendah Haji Muhammad Salleh bagi 59 orang pelajar sekolah berkenaan dan dari bulan Januari 2015, skim ini diperkembangkan lagi kepada 29 orang pelajar Sekolah Rendah Sengkurong, 40 orang pelajar Sekolah Rendah Tanah Jambu dan 40 orang pelajar lagi dari Sekolah Rendah Sultan Abdul Bubin.

Kini, skim dilanjutkan kepada 30 orang pelajar di Sekolah Rendah Pintu Malim, Kluster 1.

Dengan pelancaran ini, ujar beliau, MKM akan dapat membantu pemakanan 198 orang murid di lima buah sekolah di Daerah Brunei dan Muara setiap hari persekolahan sehingga tamat penggal persekolahan tahun ini.

Beliau menyatakan lagi, sebelum MKM melancarkan skim berkenaan, ahli-ahli MKM telah mengadakan perjumpaan dengan pihak sekolah dan juga operator kantin serta mendapat senarai murid-murid dengan kerjasama pihak sekolah untuk memastikan bahawa murid-murid yang menerima bantuan itu terdiri daripada mereka yang dalam golongan yang boleh diberi pengagihan fidyah.

Menurutnya lagi, pengalaman selama dua tahun MKM mengendalikan skim ini telah menunjukkan murid-murid di bawah skim ini telah mencatatkan peningkatan dalam kehadiran ke sekolah dan keputusan ujian.

“Setiap murid yang berdaftar dalam skim ini akan diberikan satu kad pengesahan. Pada setiap hari bersekolah, mereka boleh mendapatkan makanan dan minuman dari kantin sekolah sebanyak $1 sehari bersekolah.”

Skim yang dilaksanakan di lima buah sekolah pada masa ini dijanjikan selama setahun.

Beliau menjelaskan bahawa MKM sehingga kini telah diamanahkan lebih daripada $97,000 untuk menjalankan skim berkenaan di mana kebanyakan wang itu adalah pembayaran fidyah, manakala itu, lebih 10 peratus wang yang diamanahkan itu bukannya daripada wang fidyah tetapi sumbangan yang diterima daripada orang ramai yang ingin mengikuti skim itu.

“Walaupun wang tersebut dilihat banyak, perlu dimaklumkan dana yang diperlukan untuk skim ini adalah $198 bagi setiap hari bersekolah iaitu sekitar $47,000 setahun bagi lima buah sekolah yang sekarang berada di bawah skim MKM ini.”

Beliau berharap bahawa MKM bukan sahaja meneruskan skim berkenaan kepada sekolah-sekolah yang sama pada tahun-tahun hadapan malahan melanjutkan dan mengembangkannya kepada sekolah-sekolah lain.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai untuk membayar kewajipan fidyah bukan sahaja untuk diri mereka malah untuk ibu bapa mereka, lebih-lebih lagi yang telah meninggal dunia dan juga untuk arwah suami isteri mereka.

Majlis pelancaran berkenaan kemudian menyaksikan penyampaian kad pengesahan kepada penerima-penerima Skim Fidyah yang disempurnakan oleh Awang Yusof.