Seramai 4,864 PATI ditangkap dalam operasi bersepadu

Seramai 4,864 PATI ditangkap dalam operasi bersepadu

KOTA MARUDU, 1 Julai (Bernama) – Seramai 4,864 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap dalam operasi bersepadu yang diselaraskan oleh pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di enam daerah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sejak 2 Jan hingga 25 Jun tahun ini. Pengarah Pusat Operasi Esscom Brig. Jen Datuk Roslan Ismail berkata tangkapan tertinggi dicatatkan di Tawau iaitu 1,671 orang, diikuti Sandakan (976), Semporna (858), Lahad Datu (676), Kunak (371) dan Kudat (312 orang).

Katanya mereka yang ditahan itu dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi bersepadu yang disertai pelbagai agensi penguat kuasa negeri dan Persekutuan ini merupakan sebahagian daripada langkah drastik yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah PATI di Sabah khususnya di Esszone. Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan membela nasib rakyat Sabah terutama dalam aspek keselamatan,” katanya.

Roslan berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran Esscom di Masjid Al-Islah Addiniah Kampung Marudu Laut, dekat sini, malam tadi. Turut hadir Timbalan Pengarah Perisikan ESSCOM ACP Hashim Justin.

Roslan berkata operasi bersepadu itu ternyata berkesan mengembalikan dominasi peniaga kecil-kecilan dan penjaja tempatan di pasar-pasar besar di bandar-bandar utama di enam daerah terbabit selain mengurangkan aktiviti penyeludupan.

Katanya operasi itu akan diperluaskan ke daerah-daerah lain di ESSZONE bagi memastikan zon itu bebas daripada PATI.

Dalam hal ini, beliau meminta komuniti Esszone termasuk di Kota Marudu supaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada Esscom dengan melaporkan kehadiran PATI atau individu yang mencurigakan di kawasan masing-masing.