Serangan Aleppo masih berterusan

Serangan Aleppo masih berterusan

ALEPPO, Syria, 2 Mei (AFP) – Serangan udara baru melanda bandar Aleppo, Syria awal hari ini, lapor seorang pemberita AFP, ketika Setiausaha Negara AS John Kerry tiba di Geneva dalam usaha untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang meningkat itu.

Pertempuran lebih seminggu di dalam dan sekitar bandar kedua Syria itu telah membunuh beratus-ratus orang awam.

Serangan udara ke atas timur Aleppo yang dikuasai pemberontak berlaku pada awal-awal waktu hari ini, lapor pemberita-pemberita AFP yang berada di sana, tanpa laporan tentang kematian dan kecederaan.

Beberapa kawasan, termasuklah daerah yang ramai penduduk, Bustan al-Qasr menjadi sasaran serangan. Tidak jelas jika serbuan hari ini ke atas kawasan pemberontak dilancarkan oleh jet-jet Rusia dan Syria.

Pemberontak membedil kawasan barat bandar Aleppo yang dikuasai kerajaan lewat semalam dan mengorbankan tiga orang awam termasuklah seorang kanak-kanak, menurut Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria.

Penunjuk perasaan di Lebanon menunjukkan solidariti atas serangan yang berlaku di Aleppo, Syria. – AFP
Penunjuk perasaan di Lebanon menunjukkan solidariti atas serangan yang berlaku di Aleppo, Syria. – AFP

Keganasan yang meningkat di dalam dan sekitar Aleppo telah mengorbankan lebih 250 orang awam dan mengancam proses damai yang disokong PBB dan juga menjejaskan perjanjian gencatan senjata yang rapuh.

Kerry mendarat di Geneva semalam bagi rundingan dengan para menteri Arab dan utusan PBB Staffan de Mistura dalam desakan segera supaya pertumpahan darah dihentikan.

“Kami bercakap terus dengan pihak Rusia, malah sekarang,” kata Kerry, selepas seminggu yang mana Moscow menolak seruan AS supaya mengawal sekutunya, orang kuat Syria Bashar al-Assad.

Aleppo pada awalnya tidak dimasukkan dalam perjanjian itu untuk ‘mengukuhkan’ gencatan senjata pada 27 Februari antara kerajaan dan pemberontak bukan pejuang jihad.

Pembekuan pertempuran, yang diumumkan Jumaat lalu, ditujukan kepada medan pertempuran di wilayah pantai Latakia dan Timur Ghouta, berhampiran Damsyik.

Ketua pusat penyelarasan Moscow di Syria berkata semalam bahawa rundingan untuk memasukkan Aleppo telah bermula.

“Pada masa ini rundingan aktif sedang berjalan untuk membentuk ‘aturan senyap’ di wilayah Aleppo.” Leftenan Jeneral Sergei Kuralenko memberitahu agensi berita Rusia.

Lebih 270,000 orang terbunuh sejak konflik Syria meletus pada Mac 2011 dengan bantahan menuntut penyingkiran Assad.