Serangan AS tumpu 175 sasaran IS

Serangan AS tumpu 175 sasaran IS

WASHINGTON, 18 Nov (Reuters) – Serangan udara yang diketuai AS telah menyasarkan kira-kira 175 sasaran di rantau pengeluar minyak utama yang dikuasai pasukan pejuang Islam IS dalam tempoh bulan lalu, ketika Washington menggigihkan usaha untuk membantutkan sumber hasil utama yang dianggarkan menyediakan lebih AS$1 juta sehari kepada kumpulan militan itu.

Serangan itu termasuklah 116 buah lori tangki minyak yang diserang oleh pasukan bersekutu awal minggu ini ketika AS menyasarkan kenderaan-kenderaan itu buat pertama kali selepas serangan berani mati dan penembakan pada Jumaat lalu di Paris yang mana pasukan pejuang IS mengaku ia adalah dalang serangan itu.

Kempen pengeboman yang ditingkatkan itu juga menyasarkan pelantar minyak, pam dan tangki simpanan, menurut kiraan serangan udara oleh Reuters yang disediakan oleh Pentagon sejak 22 Oktober.

Kempen itu menandakan pendekatan AS yang lebih agresif. Sasaran seumpama itu sebelum ini dianggap tidak dibenarkan oleh pasukan bersekutu diketuai AS untuk mengelak kematian orang awam dan membataskan kerosakan infrastruktur minyak yang mungkin diperlukan kemudian oleh kerajaan baru Syria.

Pentagon pada Jumaat lalu berkata serangan udaranya baru-baru ini di Syria telah mengakibatkan ‘kerosakan besar’ pada kemampuan kumpulan IS untuk membiayai dirinya sendiri. Digelar ‘Tidal Wave II’, serangan telah bertumpu pada kemudahan minyak dekat Dayr Az Zawr dan Abu Kamal, yang menyediakan kira-kira dua pertiga hasil minyak untuk kumpulan IS.

Masih tidak jelas sejauh mana di sepanjang kempen Pentagon ke atas infrastruktur minyak kumpulan IS adalah ke arah mencapai matlamat AS dan bagaimana besarnya himpunan sasaran yang berpotensi. Sebelum ini kumpulan IS juga telah mampu membaiki kemudahan minyak yang rosak dalam serangan udara dalam tempoh sekurang-kurangnya 24 jam.

Matlamat kali ini adalah untuk menjejaskan fungsi padang minyak selama setahun atau lebih tanpa memusnahkannya sepenuhnya. Itu akan melenyapkan hasil kumpulan pelampau ini tetapi membolehkan sumber minyak diperolehi oleh pasukan lain jika dan bila kumpulan IS diusir dari wilayah yang didudukinya sekarang ini.

ARTIKEL YANG SAMA