Serangan bera...

Serangan berani mati gagal ragut jiwa

DHAKA, 17 Mac – Seorang lelaki meletupkan dirinya hari ini di sebuah kem bagi pasukan keselamatan elit Bangladesh, mencederakan dua orang, dalam satu serangan berani mati yang jelas gagal.

Insiden itu berlaku sehari selepas beberapa siri serbuan terhadap tempat-tempat yang disyaki persembunyian militan di negara bermasalah itu, yang telah mengalami beberapa siri serangan dalam tahun-tahun kebelakangan.

Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan berkata seorang lelaki membawa bahan letupan memasuki kem Batalion Tindakan Tangkas (RAB) berdekatan lapangan terbang antarabangsa Dhaka pada pagi ini.

Bahan letupan itu meledak selepas dia dicabar oleh dua anggota RAB, mencederakan kedua-duanya namun tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

Jurucakap RAB, Mufti Mahmud Khan memberitahu para wartawan, bom itu meledak selepas lelaki itu didatangi oleh anggota-anggota RAB, meskipun ia tidak jelas sama ada letupan itu disengajakan.

Jurucakap itu berkata identiti lelaki itu tidak diketahui, namun serangan itu memiliki gaya serupa seperti yang dilakukan oleh ekstremis sebelum ini.

Kem berkenaan yang menempatkan campuran anggota polis elit, tentera dan kakitangan tentera udara, sejak itu telah diberi kepungan.

Anggota keselamatan Bangladesh melancarkan tindakan keras seluruh negara terhadap ekstremis-ekstremis Islam berikutan pengepungan berdarah di sebuah kafe di Dhaka tahun lepas. – AFP