Serangan bom gegar Kabul

Serangan bom gegar Kabul

KABUL, 28 Dis – Satu letupan kuat menggegarkan Kabul awal pagi kelmarin dalam letupan bom pinggir jalan berhampiran lapangan terbang yang mengorbankan sekurang-kurangnya seorang orang awam manakala empat lagi cedera.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri mengesahkan letupan berlaku selepas kenderaan yang penuh dengan bahan letupan, diledakkan oleh pengebom nekad di Hawa Shinasi, bahagian timur Lapangan Terbang Hamid Karzai.

Serangan senjata api bertalu-talu dilepaskan penyerang selepas kejadian itu. Setakat ini, tiada kumpulan yang tampil mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu yang dipercayai dilakukan oleh militan Taliban yang semakin meningkatkan serangan ke atas sasaran warga asing dan kerajaan.

“Letupan berlaku berdekatan lapangan terbang Kabul, kami masih lagi mengumpulkan maklumat lebih jelas,” kata Timbalan Ketua Polis Kabul, Gul Agha Rohani.

Letupan hari ini berlaku hampir tiga minggu selepas serangan bunuh diri yang diselaraskan dengan misi diplomatik dekat sini, menyebabkan sekurang-kurangnya lapan terbunuh.

Militan bersenjata antikerajaan turut melancarkan tiga roket ke atas bandar Kabul, minggu lalu yang mendarat di beberapa bahagian di bandar ini termasuk Pashtunistan Waat, berhampiran kawasan bangunan kementerian.– AFP

ARTIKEL YANG SAMA