Serangan bom ragut lima jiwa di Iraq

Serangan bom ragut lima jiwa di Iraq

TIKRIT, Iraq, 12 Sept – Bom tepi jalan membunuh empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang melarikan diri dari bandar yang dikepung di wilayah utara Iraq, Kirkuk kelmarin, kata sumber keselamatan.

Mangsa yang terkorban itu sedang menuju ke wilayah tengah utara Salahudin, menurut sumber yang sama.

Letupan pertama membunuh tiga orang wanita di kawasan pergunungan Himreen di sepanjang sempadan antara kedua-dua wilayah, apabila bom yang ditanam oleh militan Negara Islam (IS) diletupkan berhampiran mereka, menurut sumber dari Perintah Operasi Salahudin memberitahu Xinhua.

Dalam kejadian berasingan, seorang wanita lain dan anak perempuannya terbunuh dalam satu letupan di tepi jalan di kawasan pergunungan yang sama, tambah sumber itu.

Iraq telah menyaksikan peningkatan keganasan sejak kumpulan IS menguasai bahagian kawasan utara dan barat, termasuk Mosul, pada bulan Jun 2014, 400 kilometer ke utara ibu negara Iraq, Baghdad.

Tindakan pengganas, keganasan dan konflik bersenjata membunuh 691 rakyat Iraq dan mencederakan 1,016 yang lainnya pada bulan Ogos di seluruh Iraq, Misi Bantuan PBB untuk Iraq berkata sebelum ini.

Ramai menyalahkan ketidakstabilan yang kronik, kitaran keganasan, dan kemunculan kumpulan pelampau, seperti IS, ke atas Amerika Syarikat dan serangan dan penjajahan Iraq pada Mac 2003. – Xinhua