Serangan bunuh diri, 10 tentera Kurdis maut

Serangan bunuh diri, 10 tentera Kurdis maut

BEIRUT, 19 Ogos – Sekurang-kurangnya 10 anggota pasukan keselamatan Kurdis terbunuh hari ini dalam serangan bom bunuh diri ke atas ibu pejabat mereka di timur laut bandar Qamishli di Syria, menurut kumpulan pengawas.

“Seorang pengebom bunuh diri di dalam sebuah kenderaan menyasarkan ibu pejabat tempatan Asayish di Qamishli. Terdaoat sekurang-kurangnya 10 orang maut,” kata Rami Abdel Rahman, ketua Pemantau Syria bagi Hak Asasi.

Beliau berkata semua 10 orang tersebut adalah anggota Asayish.

“Berlaku letupan yang besar. Terdapat sekurang-kurangnya 14 orang awam mengalami kecederaan,” kata Abdel Rahman.

Beliau berkata pasukan keselamatan Kurdis sudah mengepung kawasan tersebut di daerah industri Qamishli, bandar majoriti penduduknya etnik Kurdis di wilayah timur laut Hasakeh di Syria.

Kepulan asap tebal dapat dilihat dari jarak jauh sejurus selepas serangan bom bunuh diri di timur laut bandar Qamishli di Syria pada 18 Ogos 2015. – AFP
Kepulan asap tebal dapat dilihat dari jarak jauh sejurus selepas serangan bom bunuh diri di timur laut bandar Qamishli di Syria pada 18 Ogos 2015. – AFP

Arin Shekhmos, seorang wartawan tempatan di Qamishli, berkata letupan tersebut dapat didengari di seluruh bandar berkenaan.

“Saya bukan dekat tetapi dapat mendengar bunyi letupan dari tempat saya berada,” Shekhmos memberitahu AFP melalui telefon, sejurus selepas melawat kawasan letupan.

“Terdapat banyak kemusnahan – bangunan-bangunan di sekurang-kurangnya dua jalan musnah sama sekali,” katanya.

Agensi berita rasmi Syria, SANA juga melaporkan mengenai letupan itu, sambil berkata terdapat laporan kematian dan kecederaan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA