Serangan di Brussels cetus negara lain tingkat keselamatan

Serangan di Brussels cetus negara lain tingkat keselamatan

COPENHAGEN, 22 Mac – Pihak berkuasa di London, New York dan Washington D.C serta pasukan polis di Denmark, Sweden dan Finland telah mempertingkatkan keselamatan di lapangan terbang dan tempat-tempat awam berikutan letupan di Brussels hari ini.

Polis Denmark mengatakan mereka telah memperkukuhkan rondaan di lapangan terbang Copenhagen dan tempat penting lain di Bandar itu berikutan letupan maut di lapangan terbang Brussels dan stesen metro di Bandar tersebut.

“Kami menyedari apa yang berlaku di Brussels. Oleh itu anda akan menyaksikan ramai polis berada di lapangan terbang dan tempat-tempat penting di Copenhagen,” kata polis Denmark dalam laman Twitter.

Sementara itu, Turki dan enam negeri-negeri Teluk Arab juga mengecam serangan di Brussels itu dengan kedua-dua Perdana Menteri Ahmet Davutoglu dan jurucakap Presiden Tayyip Erdogan mengutuk keras serangan itu yang muncul tiga hari selepas anggota IS meletupkan dirinya di Istanbul dan membunuh empat pelancong.

Setiausaha agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Abdullatif al-Zayani mengatakan dalam satu kenyataan GCC menawarkan bantuannya kepada Belgium. Blok itu mengandungi Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu. – Reuters