Serangan di loji gas ragut 7 jiwa

Serangan di loji gas ragut 7 jiwa

BAGHDAD, 15 Mei (AFP) – Penyerang-penyerang berani mati memecah masuk ke sebuah loji gas di Baghdad hari ini, membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan menyebabkan tangki-tangki gas terbakar, menurut satu sumber rasmi.

Serangan pada loji Taji itu, kira-kira 20 kilometer (12 batu) utara ibu negeri, terjadi pada kira-kira 6 pagi (0300 GMT).

Lapan pengebom berani mati memecah masuk ke loji gas itu dan meletupkan satu bom kereta di salah satu laluan tempat masuk, jurucakap kementerian dalam, Saad Maan berkata dalam satu keterangan.

Beberapa penyerang itu meletupkan tali pinggang berani mata sementara yang lainnya terbunuh akibat tembakan peluru, menurut Maan, yang berkata letupan-letupan telah menyebabkan terbakarnya tiga tangki gas.

Paparan menunjukkan kepulan besar asap hitam mengepul ke langit namun Perintah Operasi Bersama berkata kebakaran itu berjaya dikawal.

Keadaan tangki-tangki gas yang terbakar disebabkan serangan berani mati oleh kumpulan yang dipercayai IS. – AP
Keadaan tangki-tangki gas yang terbakar disebabkan serangan berani mati oleh kumpulan yang dipercayai IS. – AP

Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 22 orang, menurut sumber pegawai keselamatan dan perubatan.

Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu namun serangan-serangan sebegini selalunya dijalankan oleh kumpulan IS.

Pertubuhan jihad itu sehingga kini semakin kehilangan kawasan kepada pihak tentera keselamatan Iraq dalam bulan-bulan kebelakangan.

Menurut kerajaan, IS mengawal hanya 14 peratus kawasan di Iraq, menurun daripada 40 peratus yang dikawalnya pada 2014.

Namun kumpulan itu telah mempergiatkan serangan-serangannya di belakang barisan depan, meletupkan bom-bom kereta di kawasan-kawasan orang awam dan menyusup ke tapak-tapak sensitif dengan komando-komando berani mati.

“Daesh (IS) kini menyasarkan tempat-tempat kemudahan awam di bandar-bandar selepas tewas pada pertempuran di barisan depan,” kata Kolonel Mohamed al-Bidhani, dari “sel media perang” kerajaan.

Pada Sabtu, satu kumpulan pejuang IS menyusup masuk ke Amriyat al-Fallujah, bandar dikawal kerajaan di barat Baghdad, dalam satu serangan berani mati sama yang telah mengorbankan lima orang.

Kumpulan itu juga mengaku bertanggungjawab atas siri-siri pengeboman di Baghdad pada Rabu yang telah mengorbankan hampir 100 orang, hari yang paling berdarah di ibu negeri Iraq tahun ini.