Serangan di Paris angkara tiga pasukan pengganas

Serangan di Paris angkara tiga pasukan pengganas

PARIS, 15 Nov (Reuters) – Pihak berkuasa Perancis berkata tiga pasukan pengganas dan pengebom nekad terbabit dalam serangan terancang terhadap beberapa lokasi di bandar raya itu pada Jumaat malam yang menyebabkan 129 orang terbunuh.

Serangan ganas itu disifatkan Presiden Perancis, Francois Hollande, sebagai ‘tindakan perang’ daripada kumpulan militan Negara Islam (IS).

Ketika Hollande mengisytiharkan darurat dan menetapkan tiga hari tempoh berkabung, warga negara itu masih terkejut dan tercari-cari punca serangan serentak di restoran, dewan konsert dan stadium bola sepak.

Pasukan penyiasat setakat ini berkata, serangan itu yang didakwa IS sebagai balasan terhadap tindakan ketenteraan Perancis di Syria dan Iraq, membabitkan pasukan antarabangsa dengan kaitan ke Asia Barat, Belgium serta berkemungkinan Jerman serta Perancis sendiri.

Dalam siri serangan itu, paling ramai terbunuh adalah di dewan konsert Bataclan, apabila tiga penyerang membunuh sekurang-kurangnya 89 orang sebelum meletupkan diri apabila pasukan komando antipengganas Perancis mengepung tempat itu.

Orang ramai berkumpul pada memorial sementara bersebelahan dengan teater Bataclan di Paris, berikutan beberapa siri serangan pengganas yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 120 orang terbunuh. - AFP
Orang ramai berkumpul pada memorial sementara bersebelahan dengan teater Bataclan di Paris, berikutan beberapa siri serangan pengganas yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 120 orang terbunuh. – AFP

Kira-kira 40 orang lagi terbunuh dalam lima lagi serangan di bandar raya itu termasuk dua letupan bom bunuh diri di luar stadium Stade de France yang mana ketika itu Hollande dan Menteri Luar Jerman sedang menyaksikan perlawanan bola sepak.

Menjelang Sabtu malam, seramai 99 orang masih dalam keadaan kritikal. Serangan itu adalah antara yang terburuk di Eropah sejak pengeboman stesen kereta api di Madrid pada 2004 yang menyebabkan 191 orang terbunuh.

Bagaimanapun, timbul persoalan kini bagaimana serangan terancang sebegitu rupa langsung tidak dapat dihidu pihak berkuasa Perancis, negara yang sememangnya sudah membuat persediaan rapi menghadapi pengganas menjelang penganjuran satu sidang kemuncak berhubung perubahan iklim hujung bulan ini.

Dalam pada itu, Hollande berkata, serangan di Paris dirancang dari luar oleh IS dengan bantuan antarabangsa. Tiga orang sudah ditahan di Belgium selepas sebuah kereta sewa dari negara itu ditemui tidak jauh daripada sebuah lokasi serangan.

Ia adalah satu daripada dua kenderaan yang digunakan dalam serangan itu. Sementara itu, sumber yang rapat dengan pasukan penyiasat berkata, seorang penyerang yang maut adalah warga Perancis yang memang dalam pemantauan pihak berkuasa. Media Perancis melaporkan abang dan bapa lelaki itu ditahan pada Sabtu.

Seorang lelaki yang ditahan di Jerman bulan ini selepas bahan letupan dan senjata api ditemui dalam keretanya juga mungkin ada kaitan dengan serangan Paris, kata seorang pegawai dari negeri Bavaria, Jerman.

ARTIKEL YANG SAMA