Serangan di universiti Amerika di Kabul, 12 maut

Serangan di universiti Amerika di Kabul, 12 maut

KABUL, 25 Ogos – Kira-kira 12 orang telah terbunuh selepas militan menyerbu Universiti Amerika Afghanistan di Kabul, kata para pegawai hari ini, dalam serangan kira-kira hampir 10 jam yang mencetuskan rayuan meminta tolong daripada para pelajar yang terperangkap.

Letupan dan tembakan senjata api telah menggegarkan kampus selepas serangan yang bermula malam kelmarin, hanya beberapa minggu selepas dua profesor universiti itu – seorang warga Amerika dan seorang Australia – telah diculik berhampiran sekolah tersebut.

Sejauh ini, tiada kumpulan mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu, namun ia berlaku ketika pemberontak Taliban meningkatkan serangan musim panas seluruh negara mereka ke atas kerajaan Kabul yang disokong Barat.

“Tujuh pelajar, seorang pengawal universiti dan seorang pengawal dari sekolah vokasional berhampiran bagi orang kurang upaya telah terbunuh,” kata jurucakap kementerian dalam negeri, Sediq Sediqqi memberitahu AFP, menambah bahawa tiga anggota polis juga telah terbunuh.

Pelajar wanita Afghanistan dari Universiti Amerika yang cedera menerima rawatan, selepas serbuan militan yang menyasarkan Universiti Amerika Afghanistan, di Kabul semalam. – AFP
Pelajar wanita Afghanistan dari Universiti Amerika yang cedera menerima rawatan, selepas serbuan militan yang menyasarkan Universiti Amerika Afghanistan, di Kabul semalam. – AFP

Kira-kira 45 yang lain juga cedera, beberapa daripada mereka cedera parah, katanya. Ia adalah tidak jelas berapa banyak penyerang melancarkan serangan itu namun polis Kabul berkata kira-kira dua daripada mereka telah ditembak mati dalam operasi rondaan.

Ratusan pelajar terperangkap telah diselamatkan semasa operasi semalaman itu, ramai daripada mereka mentweet mesej terdesak untuk bantuan, dengan beberapa daripada mereka menggunakan perabot bilik kuliah untuk menyekat pintu.

Serangan itu bermula ketika senja, apabila universiti swasta dipenuhi dengan para pelajar, ramai daripada mereka pekerja profesional yang mengambil kursus sambilan. – AFP