Serangan dikecam, pemburuan diteruskan

Serangan dikecam, pemburuan diteruskan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Kerajaan Republik Indonesia mengecam serangan pengganasan kejam yang telah meragut nyawa orang awam yang tidak berdosa dan mengucapkan takziah serta simpati kepada keluarga dan para mangsa.

Kecaman kerajaan berkenaan telah dibuat menerusi kenyataan media daripada Kedutaan Republik Indonesia di Brunei Darussalam berikutan serangan pengebom berani mati di sebuah kafe di persimpangan Jalan Thamrin, Tengah Jakarta kira-kira 10:50 pagi kelmarin diikuti dengan dua letupan lain di kawasan berdekatan dengan persimpangan berkenaan.

Kejadian itu telah meragut dua nyawa orang awam termasuk seorang warga asing dari Kanada, di samping itu, 19 orang awam turut mengalami kecederaan termasuk empat warga asing (masing-masing dari Algeria, Austria, Belanda dan Jerman). Lima orang anggota polis juga mengalami kecederaan dalam usaha mereka membendung pengganas.

Kedutaan Indonesia dalam kenyataannya turut menekankan bahawa kerajaan mereka kekal komited untuk memerangi pengganasan dan akan terus berusaha sedaya upaya bagi memastikan keselamatan semua rakyatnya dan warga asing di Indonesia.

Dalam pada itu, menurut laporan AFP, polis Indonesia melancarkan serbuan di seluruh negara hari ini, mengatakan mereka mengesyaki satu rangkaian ekstremis lebih besar membantu melancarkan serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Negara Islam (IS).

Operasi dilaksanakan ketika pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan di tempat-tempat awam ekoran serangan dan pengeboman semalam. Walau bagaimanapun, kekeliruan tercetus apabila pihak berkuasa bergelut untuk memberikan maklumat tepat mengenai kejadian mengejutkan di sebuah jalan sibuk yang dibarisi gedung membeli-belah, hotel terkemuka dan kedutaan asing pada waktu siang itu.

Ketua Polis Kebangsaan Badrodin Haiti memberitahu wartawan serangan kemungkinan menunjukkan penglibatan lebih meluas apparatus sokongan dan menandakan pengkomplot mungkin masih bebas.

“Perancang, pembiaya dan penyokong yang menyediakan bahan letupan, memasang bom, memberikan kemudahan penginapan dan kenderaan dan sebagainya….sudah tentu ini adalah satu kerja sebuah pasukan yang boleh jadi besar atau kecil,” katanya,

“Ini sudah tentu tidak dijalankan oleh lima lelaki, ia memerlukan kerjas berpasukan.”

ARTIKEL YANG SAMA