Serangan guna pisau, 2 ditembak

Serangan guna pisau, 2 ditembak

BAITULMAQDIS, 9 Nov (AFP) – Seorang wanita Palestin didakwa menyerang pengawal keselamatan Israel dengan pisau di bahagian utara Tebing Barat hari ini sebelum ditembak di pusat kawalan, kata Kementerian Pertahanan Israel.

Pengawal melepaskan tembakan amaran selepas wanita itu dilihat menghampiri pusat kawalan bersenjata itu dengan pisau. Dia ditembak selepas enggan berhenti, kata kementerian itu, tanpa menyatakan sama ada dia cedera atau terbunuh.

Sebelumnya, seorang lelaki Palestin telah ditembak mati oleh pasukan keselamatan rejim Zionis selepas didakwa merempuh sekumpulan penduduk Yahudi di kawasan persimpangan di selatan Nablus, menyebabkan tiga orang cedera, dengan dua daripadanya parah.

Kejadian itu adalah yang terbaru dalam gelombang sepanjang minggu yang penuh dengan insiden keganasan di Israel dan Tebing Barat yang juga telah merebak ke Semenanjung Gaza.

Mayat seorang penduduk Palestin terbaring di atas jalan selepas ditembak mati tentera Israel di Bandar Nablus, Tebing Barat.
Mayat seorang penduduk Palestin terbaring di atas jalan selepas ditembak mati tentera Israel di Bandar Nablus, Tebing Barat.

Israel bertindak balas semalaman terhadap roket yang dilancarkan dari Gaza, yang dikawal oleh organisasi Palestin militan Hamas.

“Sebuah roket yang dilancarkan malam Ahad dari Semenanjung Gaza ke arah majlis serantau Shaar Hanegev tidak menyebabkan sebarang kecederaan. Sebagai tindak balas, Israel melancarkan jet ke lokasi kedudukan Hamas di selatan Semenanjung Gaza,” kata satu kenyataan tentera.

Ahad lalu seramai enam Israel telah mengalami kecederaan dalam tiga serangan berasingan oleh rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat.

ARTIKEL YANG SAMA