Serangan ke atas misi UNAMID meningkat

Serangan ke atas misi UNAMID meningkat

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 11 Jun (AFP) – PBB semalam member amaran bahawa serangan ganas ke atas pasukan pengaman antarabangsa dan orang awam di wilayah Darfur di Sudan semakin meningkat sementara beribu-ribu orang terpaksa melarikan diri akibat pertempuran sengit.

Pegawai-pegawai PBB dan diplomat-diplomat berkata kerajaan Sudan juga didapati semakin bersikap bermusuhan dengan PBB dan Barat berhubung misi bersama PBB-Kesatuan Afrika ke Darfur (UNAMID), yang Khartoum mahu supaya dihentikan.

Timbalan ketua pasukan pengaman PBB Edmond Mulet memberitahu 15 anggota Majlis Keselamatan bahawa terdapat kemajuan yang perlahan dalam usaha damai bagi Darfur, sambil menambah berlaku peningkatan dalam serangan ke atas UNAMID.

Laporan kemajuan terkini oleh Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon mengenai pasukan itu berkata terdapat 60 “insiden dan serangan ke atas UNAMID” dalam tempoh tiga bulan sehingga 15 Mei, berbanding dengan 46 dalam tempoh sukuan sebelumnya.

Gambar fail bertarikh 9 April 2015 menunjukkan warga Sudan berjalan melepasi anggota misi UNAMID yang sedang menjalankan tugas pengawasan di kem Zam Zam di wilayah Darfur Utara. – AFP
Gambar fail bertarikh 9 April 2015 menunjukkan warga Sudan berjalan melepasi anggota misi UNAMID yang sedang menjalankan tugas pengawasan di kem Zam Zam di wilayah Darfur Utara. – AFP

Mulet menegaskan bahawa fasa kedua kempen tentera kerajaan “Muktamad Musim Panas” untuk menamatkan pemberontakan bersenjata mencetuskan gelombang baru warga sekitar meninggalkan kediaman masing-masing di seluruh Darfur.

Beliau berkata pertubuhan kemanusiaan menganggarkan sekurang-kurangnya 78,000 orang menjadi pelarian tahun ini.

Timbalan duta Sudan ke PBB Hassan Hamid Hassan memberitahu majlis itu bahawa keganasan dan pemindahan penduduk adalah terutamanya kerana pertempuran antara suku kaum dan serangan oleh para pemberontak, bukan tentera kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA