Serangan lanun terendah dalam dua dekad

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Serangan lanun menurun kepada tahap terendah dalam masa dua dekad tahun lalu, menurut Biro Maritim Antarabangsa, namun lebih daripada berganda di Filipina, manakala Afrika kekal sebagai kawasan berbahaya.

Sejumlah 180 insiden pelanunan dan rompakan bersenjata ke atas kapal-kapal direkodkan tahun lalu, jumlah terendah semenjak 1995 dan menurun daripada 191 insiden dalam 2016, menurut biro itu dalam laporan tahunannya.

Beberapa buah negara seperti Indonesia, negara gugusan kepulauan terbesar dunia, menyaksikan pengurangan dalam insiden tersebut, dengan 43 serangan di perairannya tahun lalu, berkurangan lebih daripada separuh dalam masa dua tahun kebelakangan.

Walau bagaimanapun, sejumlah negara menyaksikan peningkatan dalam serangan. Sebanyak 22 insiden direkodkan di Filipina, meningkat daripada 10 insiden dalam 2016, dengan kebanyakannya adalah serangan tahap rendah ke atas kapal-kapal berlabuh di Manila dan Batangas, selatan ibu negara, dua pelabuhan paling sibuk negara itu.

Terdapat juga kejadian penculikan krew di selatan Filipina, menurut biro itu. Militan semakin menyasarkan pelaut di kawasan bergolak itu, menculik dan menuntut wang tebusan bagi pembebasan mereka.

Manakala jumlah serangan di Bangladesh mencatatkan peningkatan tiga kali ganda kepada 11 insiden dalam 2017, kebanyakannya di Chittagong, pelabuhan paling sibuk negara itu.

Teluk Guinea di pesisir barat Afrika kekal sebagai titik panas serangan dalam 2017. Daripada 16 insiden ke atas kapal-kapal diserang dilaporkan seluruh dunia tahun lalu, tujuh berlaku di teluk itu.

Terdapat 10 insiden penculikan membabitkan 65 orang krew di dalam atau sekitar perairan Nigeria yang terletak bersebelahan dengan Teluk Guinea, menurut laporan biro berpangkalan di Kuala Lumpur itu yang dikeluarkan semalam.

Perairan di pesisir Somalia kekal berbahaya, dengan sembilan insiden direkodkan tahun lalu, meningkat daripada dua insiden dalam 2016. – AFP