Serangan maut ada kaitan kumpulan jihad?

Serangan maut ada kaitan kumpulan jihad?

BAMAKO, 11 Ogos – Serangan maut dan penahanan tebusan di sebuah hotel Mali dipercayai dilakukan oleh pertubuhan Islam yang ada kaitan dengan kumpulan Al-Qaeda, menurut para penyiasat semalam.

Penyiasat-penyiasat berkata mereka menemui nombor telefon dan alamat di mayat “pengganas” yang membuktikan mereka ada kaitan dengan Barisan Pembebasan Macina (FLM), kumpulan Islam baru dari kalangan rakyat Fulani di bahagian tengah Mali.

Krisis tebusan, yang bermula awal Jumaat lepas, berkahir hampir 24 jam kemudian apabila tentera Mali menyerbu Hotel Byblos di bandar tengah Sevare.

Kerajaan berkata empat anggota tentera, lima pekerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan empat “pengganas” terbunuh. Di antara mangsa ialag dua warga Ukraine, dan masing-masing seorang warga Nepal, Afrika selatan dan pemandu warga Mali, menurut misi PBB di Mali.

“Para penyiasat menemui nombor telefon dan alamat pada mayat para pengganas…yang menyokong teori FLM,” kata sumber keselamatan, membayangkan bahawa kad pengenalan yang ditemui pada salah satu mayat menunjukkan beliau dari kawasan Macina, di bahagian tengah Mali.

“Pada peringkat ini tiada bukti rasmi bahawa ia adalah dari Barisan Pembebasan Macina, tetapi rasa syak yang kuat menjurus kepada kumpulan ini,” katanya.

Bagaimanapun, seorang anggota jihad yang bersekutu dengan pemimpin radikal Islam Amadou Koufa dan kumpulan ada kaitan Al-Qaeda, Mokhtar Belmokhtar, yang berpangkalan di Algeria, mengaku bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan.

Dalam insiden berasingan, tiga anggota tentera maut dan empat cedera semalam apabila kenderaan mereka melanggar jerangkap samar berhampiran bandar Diabozo, berhampiran Sevare, menurut jurucakap kerajaan dalam satu kenyataan. – AFP