Serangan meningkat, lagi pemusnahan Israel

Serangan meningkat, lagi pemusnahan Israel

HEBRON, Wilayah Palestin, 20 Okt – Pasukan tentera Israel awal hari ini memusnahkan rumah di Tebing Barat milik seorang Palestin yang telah dipenjarakan kerana membunuh seorang peneroka Yahudi dalam serangan bersenjatakan pisau lewat tahun lalu, menurut pihak tentera.

Pemusnahan rumah Maher al-Hashlamoun di bandar Hebron diiringi dengan pertempuran antara berbelas-belas orang Palestin yang melontar batu dan tentera Israel tetapi tidak ada laporan tentang kematian atau kecederaan, menurut para saksi.

Hashlamoun, anggota kumpulan radikal Jihad Islam, dijatuhi dua hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah tentera pada Mac kerana membunuh Dalia Lemkus, 26 tahun pada 10 November 2014 dan cubaan membunuh dua orang lagi di sebatang jalan raya di blok petempatan Gush Etzion, selatan Baitulmaqddis.

Minggu lalu kerajaan Israel mengarahkan bagi tindakan punitif pemusnahan rumah dihebatkan dalam tindak balas kepada siri-siri serangan tikam dan tembak dan kekacauan lain yang membawa maut.

Menurutnya dasar berkontroversi itu adalah sebagai pencegahan tetapi pengkritik-pengkritik berkata mangsa utama dari pemusnahan seumpama itu adalah anggota keluarga yang terpaksa menanggung akibat dari tindakan orang lain.

Tentera Israel memotong jeriji teres selepas memusnahkan bahagian dalaman apartment milik Maher di bandar Hebron, hari ini. - AFP
Tentera Israel memotong jeriji teres selepas memusnahkan bahagian dalaman apartment milik Maher di bandar Hebron, hari ini. – AFP

Rumah yang dimusnahkan hari ini adalah sebuah pangsapuri di dalam bangunan lebih besar. Para saksi berkata tentera-tentera menggunakan gerudi tukul dan peralatan lain untuk memusnahkan pangsapuri itu dan tidak menggunakan bahan letupan atau jentolak, seperti yang digunakan sebelum ini.

Pada 6 Oktober lalu, Israel telah memusnahkan rumah dua orang Palestin yang menjadi dalang serangan tahun lalu dan telah menutup sebuah bilik di rumah lain.

Tentera Israel juga memberkas salah seorang ketua tertinggi kumpulan pejuang Islam Hamas di Tebing Barat dalam serangan semalaman berhampiran Ramallah, menurut pihak tentera hari ini.

“Pada waktu malam pasukan tentera dan Shin Bet (perkhidmatan keselamatan dalam negeri) telah memberkas Hassan Yusef,” seorang ketua Hamas, di Beitunia, barat daya Ramallah,” menurut kenyataan tentera. Penangkapan Yusef telah disahkan oleh perkhidmatan keselamatan Palestin.

“Yusef telah diberkas dan dipenjarakan beberapa kali sebelum ini. Dia aktif memulakan dan mendorong keganasan dan secara terbuka menggalakkan serangan ke atas orang Israel,” menurut kenyataan tentera itu lagi.

Yusef, anggota pengasas Hamas pada lewat 1980-an, telah selama bertahun-tahun dalam penjara Israel. Dalam tahun 2006, dari penjara dia dilantik menjadi anggota parlimen Palestin dan hanya dibebaskan dari penjara pada Jun lalu. Hamas sentiasa berkata Yusef hanya berjuang bagi sayap politiknya, bukan sayap ketenteraannya. – AFP