Serangan penaja bermotif politik – Blatter

Serangan penaja bermotif politik – Blatter

LONDON, 1 Nov (Reuters) – Bos Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Sepp Blatter menolak aduan dibuat penaja terbesar sukan itu mengenai sogokan dan skandal rasuah, sambil berkata ia bermotifkan politik dan dilakukan atas perintah Amerika Syarikat.

Blatter digantung tugas oleh FIFA sebagai sebahagian daripada siasatan oleh jabatan Keadilan AS terhadap kes rasuah, pembersihan wang haram dan penipuan secara dalam talian di badan induk sukan tersebut.

Blatter, 79, sebelumnya dikekalkan dalam jawatannya sehingga tahun depan, biarpun beberapa penahanan pegawai-pegawai tertinggi FIFA, sehingga sekumpulan utama penaja mengeluarkan permintaan untuknya meletak jawatan. Blatter digantung tugas beberapa hari kemudian.

“Ia adalah syarikat-syarikat AS,” Blatter memberitahu Financial Times dalam satu temu bual ketika merujuk kepada penaja-penaja termasuk Coca-Cola, McDonald, Visa dan pemilik Budweiser, Anheuser-Busch InBev.

“Syarikat lain tidak menyatakan sesuatu. Jadi anda cukup bijak untuk menghubungkan syarikat-syarikat AS dan penyiasatan AS. Saya tidak perlu untuk menggariskannya.”

FIFA, yang mengendalikan sepanjang 17 tahun, berada dalam skandal terbesar dalam sejarahnya, dengan 14 pegawai bola sepak dan pemasaran eksekutif sukan didakwa oleh AS.

Blatter dan Presiden UEFA, Michel Platini kedua-duanya menjalani penggantungan selama 90 hari yang dikenakan oleh Jawatankuasa Etika FIFA, yang menjurus kepada pembayaran 2 juta Swiss franc (AS$2.03 juta) oleh Blatter kepada Platini pada 2011 — kes yang juga menjadi sebahagian daripada penyiasatan jenayah berasingan Switzerland.

Temu bual bersama FT adalah yang kedua Blatter minggu ini selepas dia juga bercakap kepada agensi berita Rusia, TASS. Dalam temu bual itu Blatter mendedahkan bahawa dia merancang bagi Rusia dan AS untuk menghoskan Piala Dunia 2018 dan 2022.

“Penyelesaian tersebut sudah dipersetujui, tidak secara bertulis, tetapi ia dipersetujui, mari kita pergi ke dua kuasa besar dalam undian bagi Piala Dunia: mari pergi ke Rusia dan AS,” dia memberitahu FT.

Blatter berkata keputusan itu tidak diambil secara rasmi oleh jawatankuasa eksekutif penuh FIFA tetapi adalah persetujuan “di sebalik tabir.”

“Ia diuruskan secara diplomatik,” tambahnya.