Serangan Perancis: Pengebom sah warga Belgium-Maghribi

Serangan Perancis: Pengebom sah warga Belgium-Maghribi

PERANCIS, 15 Jan (AFP) – Pengebom bunuh diri yang meletupkan dirinya ketika serbuan polis susulan serangan militan di Paris disahkan warga Belgium-Maghribi, juga disyaki seorang daripada penyerang dalam insiden November lalu, kata pendakwa semalam.

Pendakwa Paris Francois Molins, dalam satu kenyataan berkata, identiti Chakib Akrouh, 25, dikenal pasti menerusi padanan DNA ibunya.

“Pengebom bunuh diri yang meletupkan dirinya… dikenal pasti sebagai Chakib Akrouh, dilahirkan pada 27 Ogos, 1990 di Belgium, warga Belgium Maghribi,” kata Molins.

Akrouh bersembunyi di sebuah pangsapuri di pinggir bandar Saint-Denis di utara Paris bersama ketua sindiket disyaki terbabit dalam serangan Paris, Abdelhamid Abaaoud.

Sementara itu, seorang wanita Perancis, Hasna Ait-bou-lahcen, sepupu Abaaoud yang dikatakan menjalin hubungan dengannya, turut berada di situ pada subuh 18 November lalu, lima hari selepas serangan ketika polis cuba menyerbu bangunan berkenaan.

Ketiga-tiganya mati selepas Akrouh meletupkan jaket bunuh diri dan polis melepaskan tembakan ke arah bangunan itu.