Serangan perlu dihentikan

Serangan perlu dihentikan

ALEPPO, Syria, 1 Mei (AFP) – Amerika Syarikat semalam menuntut tentera Presiden Syria Bashar al-Assad supaya menghentikan pengeboman mereka di Aleppo dan membantu memulihkan gencatan senjata di seluruh negara, dengan Setiausaha Negara John Kerry dijangka berkunjung ke Geneva untuk rundingan mengenai konflik yang dihadapi.

Penduduk yang ketakutan melarikan diri daripada aliran serangan udara baru di kawasan bandar yang dikawal oleh pemberontak tatkala penyokong utama Rusia menolak gesaan untuk mengawal sekutunya.

Dengan proses perdamaian masih tergantung, Kerry dijangka berlepas ke Geneva pada hari ini untuk rundingan dengan duta PBB Staffan de Mistura dan menteri luar Saudi dan Jordan.

Dalam gesaan kepada De Mistura dan perunding pembangkang utama Syria, Kerry meluahkan “kebimbangan mendalam” mengenai Aleppo, yang telah mengalami pertempuran paling teruk dalam konflik yang telah membunuh lebih daripada 270,000 orang dan menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal.

“Setiausaha menjelaskan keutamaan perlu diberikan kepada pemberhentian keganasan di Aleppo dan mengembalikan pelucutan senjata di seluruh negara,” kata jurucakap John Kirby.

Beberapa pembangkang di Lebanon menyuarakan pendapat mereka mengenai serangan di Aleppo. – AP
Beberapa pembangkang di Lebanon menyuarakan pendapat mereka mengenai serangan di Aleppo. – AP

Satu gencatan senjata diadakan pada Februari di antara tentera Assad dan gabungan pemberontak tetapi telah mulai mengalami kegagalan, terutamanya di bandar Aleppo di mana hampir 250 orang telah terbunuh dalam tempoh 10 hari lalu.

Dalam gesaan, Kerry menyangkal dakwaan Rusia dan rejim mengatakan serangan Aleppo menyasarkan Barisan Al-Nusra, kumpulan jihad yang tidak memihak kepada gencatan senjata.

“Setiausaha memastikan supaya kami menggesa Rusia mengambil langkah untuk menghentikan pencabulan rejim, terutamanya serangan yang tidak sewenang-wenang di Aleppo,” kata Kirby.

Aleppo tidak dimasukkan dalam gencatan senjata sementara yang dibroker oleh AS-Rusia yang nampaknya berkuatkuasa di kubu rejim Latakia serta Damsyek dan kubu pemberontak berhampiran Ghouta Timur.

Rundingan perdamaian baru yang disokong oleh PBB dijangka bermula pada 10 Mei di Geneva.

Di timur Aleppo yang dikawal oleh pemberontak, berpuluh orang awam meninggalkan daerah Bustan al-Qasr pada awal semalam, kata seorang wartawan AFP.