Serangan Rusia korbankan 23 orang awam

Serangan Rusia korbankan 23 orang awam

BEIRUT, 31 Mei – Kapal terbang perang Rusia menyerang bandar di barat laut Syria yang dikuasai Al-Qaeda pada awal subuh hari ini, mengorbankan 23 orang awam dalam serangan paling sengit dalam tempoh beberapa bulan, menurut kumpulan pemantau.

Berbelas-belas orang awam juga tercedera dalam serbuan ke atas Idlib, bandar wilayah yang dikuasai Barisan Al-Nusra yang bergabung dengan Al-Qaeda dan sekutu-sekutunya sejak Mac tahun lalu, menurut Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria.

Al-Nusra bukanlah pihak yang terlibat dalam gencatan senjata yang mana Rusia dan AS menjadi pihak perantaranya yang telah berkuat kuasa pada 27 Februari lalu antara pasukan kerajaan yang disokong Moscow dan pemberontak bukan pejuang jihad yang disokong Washington.

“Serangan udara adalah paling sengit ke atas Idlib sejak bermulanya gencatan senjat,” ketua kumpulan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman memberitahu AFP.

“Meskipun Idlib tidak termasuk dalam gencatan senjata, ia agak tenang dengan hanya serangan sekejap-sekejap,” tambahnya.

Serangan berlaku berhampiran sebuah hospital dan taman awam.

Moscow telah melancarkan kempen udara dalam menyokong Damsyik iaitu sekutunya, sejak September tahun lalu.

Ia telah dikritik kerana mensasarkan serangan ke atas pemberontak bukan penjuang jihad dan juga Al-Qaeda dan saingannya, kumpulan Islam IS.

Rusia telah menggesa supaya kumpulan pemberontak lain berundur dari kawasan itu yang dikuasai oleh Al-Nusra dan keluar dari barisan pejuang jihad.

Lebih 280,000 orang terbunuh di Syria sejak perang saudara meletus pada tahun 2011. – AFP