Serangan siber ‘besar’ angkara China – ABC

Serangan siber ‘besar’ angkara China – ABC

SYDNEY, 2 Dis (Reuters) – Serangan siber serius ke atas Unit Biro Meteorologi Australia yang mungkin menjejaskan maklumat keselamatan kebangsaan sensitif adalah angkara China, Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan hari ini.

Biro Meteorologi memiliki salah sebuah superkomputer terbesar Australia dan serangan itu, yang menurut ABC berlaku dalam beberapa hari kebelakangan ini, mungkin membolehkan mereka yang bertanggung jawab memasuki Jabatan Pertahanan melalui rangkaian berhubung.

ABC, yang memetik beberapa sumber yang tidak didedahkan yang mengetahui pencabulan “besar” itu, mengatakan China adalah punca, yang sebelumnya dituduh menggodam sistem komputer sensitif kerajaan Australia.

“Ia angkara China,” ABC memetik satu sumber sebagai berkata.

Biro Meteorologi berkata dalam satu kenyataan di laman sesawangnya bahawa ia tidak mengulas tentang perkara keselamatan, tetapi ia sedang bekerjasama rapat dengan agensi-agensi keselamatan dan sistem komputernya beroperasi sepenuhnya.

Polis Persekutuan Australia enggan mengulas tentang perkara itu. Jabatan Pertahanan berkata dalam satu kenyataan bahawa mengikut dasar ia ditegah mengulas kejadian keselamatan siber tertentu.

Kedutaan China di Canberra tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan.

China telah lama dituduh menggunakan sumber perkomputeran yang banyak untuk menembusi perniagaan online bagi kelebihan kompetitif dan juga melaksanakan pengintipan siber.

Pada Jun, para pegawai Amerika Syarikat mengatakan penggodam China bertanggung jawab menjejaskan rekod sehingga empat juta kakitangan kerajaan yang pada masa ini yang sedang berkhidmat dan juga bekas kakitangan kerajaan.

China menyifatkan ulasan AS itu tidak bertanggung jawab, manakala Presiden Barack Obama berikrar bahawa AS akan dengan agresif mengukuhkan pertahanan sibernya.

China adalah rakan perdagangan utama Australia, dengan perdagangan dua hala kira-kira A$150 bilion (AS$110 bilion) dalam tahun 2013 dan mereka telah menandatangani perjanjian bersejarah perdagangan bebas dalam tahun 2014 yang mungkin akan meningkatkan lagi hubungan komersial.

ARTIKEL YANG SAMA