Serangan terhadap kedutaan Arab Saudi di Tehran

Serangan terhadap kedutaan Arab Saudi di Tehran

TEHRAN, 3 Jan (AFP) – Orang ramai membuat bantahan selepas Arab Saudi melaksanakan hukuman mati ke atas ulama Syiah tersohor dengan membaling bom petrol dan menyerbu kedutaan di sini semalam sebelum disuraikan oleh polis, lapor agensi berita ISNA.

Insiden berlaku beberapa jam selepas pengumuman kematian Sheikh Nimr al-Nimr, 56, yang dikatakan individu utama sepanjang bantahan anti kerajaan di Arab Saudi sejak 2011.

Menurut sumber tempatan, seramai 40 orang ditahan selepas Kedutaan Arab Saudi diserang dan dibaling bom petrol sebagai membantah tindakan Arab Saudi melaksanakan hukuman mati ke atas ulama Syiah tersohor.

Pegawai pendakwa raya Tehran, Abbas Jafari Dolatabadi berkata, suspek sudah dikenal pasti dan ditahan serta banyak lagi tangkapan akan menyusul.

Hukuman mati itu mencetuskan kritikan teruk dari majoriti rakyat Iran dan Iraq yang berfahaman Syiah. Nimr, yang menghabiskan masa lebih sedekad mempelajari theologi (kefahaman keagamaan) di Iran, adalah antara 47 pesalah berkaitan jenayah keganasan yang dihukum mati semalam.

Anggota polis mengawal di kedutaan Arab Saudi di Tehran, semalam.
Anggota polis mengawal di kedutaan Arab Saudi di Tehran, semalam.

Sehubungan itu, kerajaan Iran berkata, ‘kerajaan Arab Saudi menyokong pergerakan keganasan dan ekstremis tapi berdepan kritikan domestik dengan kekejaman dan hukuman mati.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Hossein Jaber Ansari berkata, ia akan ‘membayar harga mahal atas dasar yang dilaksanakan Arab Saudi.

Sementara itu, Kementerian Luar Arab Saudi berkata, duta Iran dipanggil bagi menyuarakan bantahan terhadap ‘kenyataan agresif Iran terhadap hukuman mati yang dilaksanakan.’

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi pula berkata, mereka yang dihukum mati didapati bersalah kerana mengamalkan ideologi radikal dengan menyertai ‘pertubuhan keganasan’ dan melaksanakan pelbagai ‘plot jenayah’.

Senarai rasmi mereka yang dihukum mati disiarkan termasuk pemimpin Syiah yang terbabit dalam serangan Al-Qaeda yang mengorbankan rakyat Arab Saudi dan warga asing pada 2003 dan 2004.