Serangan udara baru gegar Yaman

Serangan udara baru gegar Yaman

SANAA, 6 Sept (AFP) – Letupan kuat menggegarkan ibu negara Yaman hari ini, menurut saksi-saksi, selepas pakatan tentera diketuai Arab Saudi berikrar meningkatkan serangan udaranya berikutan serangan peluru berpandu pemberontak yang mengorbankan berpuluh-puluh tentera Teluk.

Saksi-saksi berkata pesawat perang pakatan mengebom kedudukan pemberontak Huthi yang disokong Iran dan pangkalan tentera yang setia kepada bekas presiden yang digulingkan Ali Abdullah Saleh.

Serangan tersebut mengenai sasaran pangkalan di Nahdain dan perbukitan Fajj Attan serta kompleks pejabat presiden yang berhampiran, di selatan Sanaa, selain ibu pejabat pasukan komando.

Turut disasarkan ialah kedudukan Huthi di kejiranan utara Sufan dan Al-Nahda, memaksa sejumlah besar penduduk melarikan diri ke kawasan lain demi keselamatan, kata saksi-saksi.

Asap berkepul-kepul menjulang ke udara dari kawasan yang menjadi sasaran pengeboman jet pejuang pakatan tentera diketuai Arab Saudi di Sanaa, ibu negara Yaman pada 6 September 2015. – Reuters
Asap berkepul-kepul menjulang ke udara dari kawasan yang menjadi sasaran pengeboman jet pejuang pakatan tentera diketuai Arab Saudi di Sanaa, ibu negara Yaman pada 6 September 2015. – Reuters

Ia berlaku selepas serangan peluru berpandu Jumaat lepas ke atas depoh senjata di Marib, di timur Sanaa, mengorbankan 60 tentera, termasuk 45 tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE), 10 tentera Arab Saudi dan lima tentera Bahrain.

Pemberontak Huthi berkata serangan itu adalah “balas dendam” ke atas serangan udara maut selama enam bulan, tetapi pakatan pula berikrar tiada sasaran musuh yang akan terlepas dalam serangan udara mereka.

Pakatan melancarkan kempen pengeboman apabila Presiden Abedrabbo Mansour Hadi melarikan diri ke Arab Saudi pada Mac selepas pemberontak memasuki kawasan terakhirnya, di bandar kedua Yaman, Aden.