Serangan udara membunuh 61 nyawa

BEIRUT, 14 Nov – Serangan udara ke atas sebuah pasar telah mengorbankan kira-kira 61 orang termasuk kanak-kanak, di sebuah bandar di utara Syria semalam di sebalik ‘zon bebas krisis’ yang diwujudkan di sana, menurut pihak pemerhati.

Badan Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Kemanusiaan yang beribu pejabat di Britain berkata belum ada penjelasan sama ada serangan ke atas Atareb yang dikuasai pihak pemberontak telah dilancarkan oleh kapal terbang perang Syria atau kapal terbang perang sekutu Damsyik, iaitu Rusia.

Badan itu berkata tiga serangan menyasarkan pasar bandar itu, dengan menambah bahawa lima orang kanak-kanak adalah antara yang terbunuh dan juga tiga orang anggota polis.

Seorang jurugambar yang memberi maklumat kepada AFP telah menyaksikan kemusnahan besar di tempat kejadian, dengan runtuhan dari bangunan yang rosak menutupi jalan raya dan orang awam yang dalam kepanikan membawa pergi mangsa-mangsa yang tercedera.

Tiga orang lelaki membantu salah seorang yang mangsa yang terkena serangan, mukanya berlumuran darah dan wajahnya hampir tidak dapat dikenal pasti sepenuhnya. Para pekerja pertahanan awam bersama-sama orang awam bergegas memindahkan mangsa-mangsa yang tercedera, dengan seorang lelaki bertopi membawa pergi seorang kanak-kanak berbaju sejuk warna merah jambu dari tempat kejadian.

Peta menunjukkan lokasi serangan udara yang berlaku di Atareb yang telah mengorbankan 61 orang awam. – AFP

Di tempat lain, mayat tiga orang kanak-kanak diletakkan di atas tanah dengan sebahagiannya ditutup oleh fabrik tebal.

Atareb terletak di barat wilayah Aleppo, di sebuah kawasan yang sebahagiannya ‘zon bebas krisis’ yang dipersetujui dibawah perjanjian awal tahun ini antara sekutu-sekutu Syria, Rusia dan Iran dan penyokong pemberontak, Turki.

Zon itu kebanyakannya meliputi kawasan wilayah Idlib, yang sebahagian besarnya dikuasai pasukan pembangkang dan kumpulan pejuang jihad yang sebelumnya bergabung dengan Al-Qaeda.

Di sebalik penawanan semula bandar Aleppo oleh kerajaan lewat tahun lalu, kumpulan pemberontak mengekalkan kehadiran di barat wilayah itu.

Lebih 400,000 orang terbunuh di Syria sejak konflik bermula pada Mac 2011 dengan bantahan anti kerajaan. – AFP