Serangan udara Turki diperhebat

Serangan udara Turki diperhebat

ISTANBUL, 26 Julai (AFP) – Tentera Turki memperhebatkan serangan udara terhadap kedudukan militan Negara Islam (IS) di Syria buat hari kedua berturut-turut selain memperluaskan kempen ketenteraan terhadap kubu kuat pemberontak Kurdish di utara Iraq.

Rangkaian televisyen CNN-Turk dan NTV melaporkan, serangan terbabit dilancarkan dari pangkalan udara di bandar Diyarbakir, tenggara Turki, melibatkan penggunaan pesawat F-16 dan serangan artileri ke arah kedudukan kumpulan pelampau.

Kumpulan aktivis, Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria, dalam laporannya berkata, sekurang-kurangnya sembilan anggota militan IS terbunuh dan 12 lagi cedera dalam siri serangan pertama semalam.

Serangan udara itu mensasarkan tiga lokasi yang dikuasai militan IS dengan kedudukan kira-kira 14 kilometer di dalam kawasan Syria dan keputusan Ankara untuk terlibat dalam misi memerangi kumpulan pelampau dibuat susulan insiden pengebom berani mati yang meragut 32 aktivis di sempadan Syria-Turki pada Isnin lalu.

Sementara itu, kumpulan pemberontak Kurdish, Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang beroperasi di Iraq, mengesahkan tentera udara Turki melancarkan serangan terhadap kedudukan mereka.

Turki memperhebatkan serangan ke atas kumpulan IS di utara Iraq. - Reuters
Turki memperhebatkan serangan ke atas kumpulan IS di utara Iraq. – Reuters

Jurucakap PKK di Iraq, Bakhtiar Dogan berkata, beberapa kubu kuat kumpulan berkenaan di kawasan pergunungan di utara wilayah Dohuk menjadi sasaran serangan udara Turki, tetapi tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini.

“Beberapa buah jet tempur melintasi ruang udara pergunungan Qandil yang merupakan pusat kepimpinan politik PKK, tetapi tiada serangan dilancarkan di kawasan tersebut,” katanya.

Kumpulan PKK diharamkan di Turki dan mempunyai beberapa kubu kuat di Iraq termasuk pusat latihan di Dohuk, wilayah yang dikuasai majoriti puak Kurdish bersempadan dengan Syria.