Serap fahaman radikal internet

Serap fahaman radikal internet

TUNIS, 1 Julai (AFP) – Perdana Menteri Tunisia, Habibi Essid percaya lelaki bersenjata yang membunuh 38 orang dengan kebanyakan mereka pelancong Britain dalam serangan ganas di sebuah pantai pada Jumaat lalu meyerap fahaman radikal menerusi internet.

Dalam temu ramah eksklusif bersama CNN yang disiarkan di laman web stesen penyiaran tersebut kelmarin, Habibi berkata, lelaki berusia 23 tahun itu juga dipercayai menerima ideologi ekstrem dan latihan di sebuah masjid.

“Saya fikir dia diterap fahaman radikal melalui Internet,” katanya kepada CNN tentang lelaki bersenjata itu yang dikenal pasti sebagai seorang pelajar universiti, Seifeddine Rezgui.

Kumpulan Negara Islam (IS) yang segera mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu bergerak aktif di internet dengan menggunakan teknologi terkini dan media sosial untuk menarik anggota baharu.

Sebuah keluarga Britain yang menyaksikan pembunuhan di pantai tersebut minggu lepas. – AFP
Sebuah keluarga Britain yang menyaksikan pembunuhan di pantai tersebut minggu lepas. – AFP

Seifeddine menyamar sebagai pelancong di sebuah pantai dekat Sousse pada Jumaat lalu sebelum mengeluarkan sepucuk raifal Kalashnikov yang disorokkan di dalam sebuah payung dan melepaskan tembakan ke arah kumpulan pelancong asing.

Apabila ditanya sama ada Seifeddine menjadi radikal ketika di universiti, Habibi membalas: “Kami tidak dapat mengesahkannya buat masa ini tetapi ada maklumat menyatakan bahawa dia merupakan anggota sebuah pertubuhan dan amat rapat dengan sebuah masjid yang menyediakan latihan ideologi (ekstrem).”