Serapkan tradisi Melayu kepada belia

Serapkan tradisi Melayu kepada belia

Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

 

TEMBURONG, 2 Dis – Salah satu inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk mengekalkan, menyebarkan dan mewariskan budaya tradisi orang Melayu Brunei kepada generasi baru adalah dengan memberi pendedahan awal kepada para belia dengan mengadakan bengkel, ceramah dan sebagainya.

Sehubungan itu, baru-baru ini seramai 25 orang belia menghadiri ceramah dan tunjuk ajar cara-cara memakai dan menambat dastar serta menapih sinjang Brunei, dalam satu ‘Bengkel Menambat Dastar dan Menapih Sinjang’ sempena ‘Karnival Sejarah 2015’ yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong.

Hadir menyampaikan ceramah dan seterusnya mengendalikan sesi praktikal ialah Haji Serudin bin Awang Damit.

Dalam ceramahnya, beliau menjelaskan betapa pentingnya rakyat jati di negara ini, untuk mengetahui tatacara betul mengenai pemakaian lengkap pakaian kebangsaan Brunei bagi lelaki iaitu berpakaian Melayu (cara Melayu), menapih sinjang dan memakai songkok dalam sesuatu majlis rasmi yang berkaitan dengan adat istiadat negara ini.

Haji Serudin menunjukkan cara memakai dastar.
Haji Serudin menunjukkan cara memakai dastar.
Salah seorang peserta mencuba menapih sinjang.
Salah seorang peserta mencuba menapih sinjang.

pg08_151203_a

Semasa bengkel tersebut, pelbagai dastar yang digunakan dalam majlis-majlis rasmi telah dipamerkan seperti dastar ‘Teruna’, dastar ‘Kopiah’ atau ‘Kuya’, dastar ‘Kiap Terbuka’ dan ‘Anggulan’.

Beliau berkata lagi, seseorang yang memiliki kebolehan menambat dastar dan menapih sinjang untuk upacara-upacara tertentu memiliki satu kelebihan dan ia juga boleh dijadikan pendapatan sampingan.

Namun apa yang lebih penting ialah memelihara salah satu khazanah warisan budaya sekali gus mempelajari teknik tambatan dastar dan tapih sinjang Brunei untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA