Serbuan besar-besaran, ‘dalang’ serangan masih bebas

Serbuan besar-besaran, ‘dalang’ serangan masih bebas

BRUSSELS, 23 Nov (AFP) – Polis Belgium menahan 5 orang lagi dalam operasi besar-besaran membanteras pengganas, menambah jumlah keseluruhan kepada 21 orang, namun suspek utama serangan di Paris, Salah Abdeslam masih belum ditemui.

Pihak berkuasa terus mengarahkan sekolah, stesen kereta api metro di bandar raya itu ditutup selepas menerima amaran ancaman pengganas peringkat tertinggi sejak Sabtu lalu.

Perdana Menteri Belgium, Charles Michel menyifatkan ancaman berkenaan adalah serius dan mengancam nyawa yang menyamai serangan di Paris yang meragut 130 nyawa.

Sejak semalam, polis Belgium melancarkan 19 serbuan di sekitar Brussels dan tiga serbuan di bandar perindustrian Charleroi dengan menahan 16 orang.

Pendakwa raya Belgium berkata, seorang pemandu kereta cedera selepas polis melepaskan dua tembakan ke arah kenderaan berkenaan yang menghala ke arah anggota polis.

Anggota tentera dan polis peronda berjaga di Brussels Grand Place sebagai langkah berjaga-jaga daripada kemungkinan berlakunya serangan di ibu negara Belgium. – AFP
Anggota tentera dan polis peronda berjaga di Brussels Grand Place sebagai langkah berjaga-jaga daripada kemungkinan berlakunya serangan di ibu negara Belgium. – AFP

“Salah Abdeslam tidak diberkas ketika serbuan berkenaan,” kata jurucakap pendakwa raya persekutuan, Eric Van Der Sypt. Abang sulung Abdeslam, Brahim dilaporkan meletupkan dirinya di luar sebuah bar di Paris dalam serangan pada 13 November itu.

Pegawai-pegawai tentera dan anggota tentera meronda di jalan-jalan terpencil di kawasan dataran Belgium yang kelihatan sunyi sepanjang hujung minggu ini selepas kerajaan menaikkan amaran keganasan ke tahap keempat di bandar itu, tahap amaran yang paling tinggi.

Kesatuan Eropah dan NATO yang berpangkalan di Brussels, kedua-duanya berkata mereka akan meningkatkan keselamatan dan menggesa kakitangan yang tiada berkepentingan untuk bekerja dari rumah hari ini.