Serbuan di kedai makan cetus kemarahan

Serbuan di kedai makan cetus kemarahan

JAKARTA, 13 Jun (AFP) – Pengguna Internet Indonesia bertindak marah dan menghulurkan sumbangan setelah gambar timbul mengenai seorang penjual makanan menangis tatkala kafenya digeledah kerana masih dibuka pada waktu siang dalam bulan Ramadan.

Video tentang pemilik perniagaan berusia 53 tahun yang merayu pegawai supaya jangan merampas makanannya tersebar pada hujung minggu, dan pengguna media sosial telah menderma hampir AS$20,000 kepada laman pembiayaan awam untuk membantunya dan juga peniaga lain.

Menjadi kelaziman untuk kedai makanan di negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia itu yang sekiranya masih dibuka pada siang dalam bulan suci Ramadan, apabila penduduk beragama Islam sepatutnya berpuasa dari subuh hingga senja, digeledah.

Namun kes penjual makanan Saeni, telah menyentuh perasaan, dengan ramai orang mengkritik pihak berkuasa kerana bertindak keras ketika serbuan di Serang, barat ibu negara Jakarta.

“Anda sepatutnya bertoleransi terhadap mereka yang tidak berpuasa, pihak berkuasa kejam,” tulis pengguna Facebook Elisabeth Oktofani.

Penjual makanan itu dibelenggu hutang yang banyak dan dengan itu telah memutuskan untuk membuka kafenya pada siang hari untuk mendapatkan wang tambahan, beliau dipetik sebagai berkata oleh media tempatan.

Presiden Joko Widodo mengecam serbuan itu dan mengarahkan kakitangannya supaya membuat sumbangan peribadi, dengan jurucakapnya berkata tindakan berkenaan ‘tidak dapat diterima’.

Dalam gambar, sekumpulan pegawai ketenteraman awam, yang membantu polis dalam mengekalkan keamanan tetapi mempunyai kuasa yang kurang, menyerbu ke kedai makanan kecil, yang mempunyai beberapa barangan dalam almari kaca dan beberapa kerusi dan meja.

Saeni, memakai tudung berwarna biru, merayu mereka supaya jangan mengambil makanan tetapi mereka meletakkannya dalam beg plastik dan beredar dari tempat itu.

Pihak berkuasa tempatan mempertahankan serbuan tersebut, berkata penjual makanan itu melanggar undang-undang. Sementara kebanyakan restoran di bandar lebih besar tetap dibuka sepanjang bulan Ramadan, undang-undang kecil tempatan di tempat yang lebih kecil selalunya melarang peniaga daripada menjual makanan pada siang.

Satu kempen pembiayaan awam yang dilancarkan sebagai respons terhadap serbuan pada Jumaat berjaya mengumpul lebih $265 juta rupiah, dengan penganjur merancang mengagihkan wang tersebut kepada Saeni dan penjual makanan lain yang menjadi sasaran kerana masih membuka kedai mereka pada waktu siang dalam bulan Ramadan.

ARTIKEL YANG SAMA