Serbuk mencurigakan, lapangan terbang dikosongkan

Serbuk mencurigakan, lapangan terbang dikosongkan

STOCKHOLM, 11 Jan (AFP) – Sebahagian kawasan Lapangan Terbang Skavsta di tenggara Sweden dikosongkan manakala penerbangan ditangguhkan beberapa jam apabila serbuk mencurigakan ditemui selepas seorang penumpang mendaftar masuk bagasi.

Kawasan daftar masuk dan dewan bagasi terminal pelepasan dikosongkan, tiga penerbangan ditangguhkan selama empat jam ketika polis dan skuad pemusnah bom memeriksa beg berkenaan, kata jurucakap lapangan terbang, Joakim Lindholm.

Terminal dibuka semula beberapa jam kemudian, selepas skuad bom tiba dari Stockholm kira-kira 100 kilometer (60 batu) jauhnya, dan membawa beg berkenaan ke kawasan yang selamat untuk pemeriksaan.

“Beg berkenaan milik seorang wanita warga emas yang bekerjasama dengan polis,” kata Lindholm tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Penerbangan masuk tidak terjejas dengan kejadian itu tetapi tujuh penerbangan keluar ke Eropah mungkin menyaksikan sedikit kelewatan.

Lapangan Terbang Skavsta adalah yang kelima terbesar di negara ini dan berfungsi bagi penerbangan kos rendah dan syarikat penerbangan kargo, yang mengendalikan 2.5 juta penumpang setahun.