Serena buru grand slam ke-22

Serena buru grand slam ke-22

MELBOURNE, 28 Jan – Pemain nombor satu dunia, Serena Williams menewaskan pemain pilihan keempat dari Poland, Agnieszka Radwanska untuk mara ke final Grand Slam kali ke-26 dan memburu gelaran ketujuhnya di Australia.

Dominasi pemain pilihan utama itu sukar digoyah apabila mempamer kehebatannya menewaskan lawannya 6-0, 6-4 dalam masa 64 minit di Arena Rod Laver.

Dia akan bertemu pemain pilihan ketujuh dari Jerman, Angelique Kerber atau pemain bukan pilihan, Johanna Konta dari Britain dalam satu lagi penentuan separuh akhir.

Kerber dan Konta akan bermain lewat hari ini, dengan salah seorang daripada mereka yang menang akan menghadapi cabaran besar menentang juara bertahan itu.

Menerusi 25 final dalam perlawanan utama, Williams memenangi 21 perlawanan.

Serena Williams berjabat tangan dengan Agnieska Radwanska selepas perlawanan tersebut. – Reuters
Serena Williams berjabat tangan dengan Agnieska Radwanska selepas perlawanan tersebut. – Reuters

“Saya teruja untuk ke satu lagi final, ia mengejutkan saya sekarang,” kata Serena, 34. “Saya rasa saya bermain sebaik mungkin, dan saya tak percaya saya berada di final.

“Saya mula bermain agresif semula dalam set kedua dan ia berhasil.”

Tekanan lebih kepada Radwanska – Serenatidak pernah tewas dalam pusingan separuh akhir di Melbourne Park dalam laluannya merangkul enam gelaran sebelum ini dan pernah menewaskan pemain Poland itu setiap kali pada lapan pertemuan sebelum ini sejak 2008.

Dia menewaskan musuh tradisi, Maria Sharapova pada suku akhir dan melakukan yang sama kepada Radwanska, dengan kini menambah rekod kemenangan kepada 13 perlawanan dengan bergaya.

Kejayaan itu meletakkan pemain itu hanya satu kemenangan lagi sebelum menyamai 22 rekod gelaran yang dilakukan Steffi Graf pada era Terbuka Grand Slam, dengan merapatkan diri rekod Margaret Court dengan 24 kemenangan. – AFP