Serena cipta kemenangan baru

Serena cipta kemenangan baru

LONDON, 7 Jun – Tiga hari selepas tewas kepada Garbine Muguruza di perlawanan akhir Terbuka Perancis, Serena Williams memperoleh kemenangan berbeza hari ini, apabila majalah Forbes melaporkan bahawa dia telah mengatasi Maria Sharapova sebagai atlet wanita yang menerima pendapatan tertinggi dunia.

Williams merampas takhta yang dipegang selama 11 tahun oleh pemain tenis dari Rusia itu sebagai pemain menerima pendapatan tertinggi dalam sukan selepas meraih AS$28.9 juta jumlah keseluruhan hadiah kemenangan terkumpul sejak 12 bulan lalu, kata majalah terbabit.

Sharapova yang kehilangan beberapa penaja utama selepas pengumuman dia diuji positif menggunakan bahan terlarang meldonium di Terbuka Australia pada Januarai lalu dan ketika ini menjalani latihan berada di kedudukan kedua dengan AS$21.9 juta.

Atlet mempertahankan diri campuran AS, Ronda Rousey naik ke kedudukan ketiga dengan mengumpul AS$14 juta daripada kedudukan kelapan.

Serena William yang muncul naib juara kejohanan Terbuka Perancis minggu lepas. – AP
Serena William yang muncul naib juara kejohanan Terbuka Perancis minggu lepas. – AP

Pelumba NASCAR, Danica Patrick yang meraih AS$13.9 juta keempat, menurut www.forbes.com.

Baki keseluruhan penerima tertinggi selepas itu kesemuanya adalah pemain tenis wanita dunia.

Pemain Poland, Agnieszka Radwanska menghuni tangga kelima dengan AS$10.2 juta diikuti bintang Denmark, Caroline Wozniacki AS$8 juta, juara Terbuka Perancis yang baru dinobatkan, Garbine Muguruza AS$7.6 juta, pemain Serbia, Serb Ana Ivanovic AS$7.4 juta, jaguh Belarus, Victoria Azarenka $6.6 juta AS dan pemain Kanada, Eugenie Bouchard AS$6.2 juta. – AFP