Serena, Djokovic mula beraksi

Serena, Djokovic mula beraksi

NEW YORK, 30 Ogos (Agensi) – Pemain nombor satu dunia Serena Williams dan Novak Djokovic akan memulakan usaha mereka untuk memenangi Terbuka AS esok, menurut penganjur kejohanan semalam.

Dalam kenyataan menerusi Twitter, penganjur berkata kelompok bahagian atas dalam undian untuk lelaki dan wanita bermain pada hari pertama pertandingan.

Ini bermakna juara bertahan tiga kali Williams, yang berusaha untuk menang kesemua grand slam dalam tahun yang sama sejak Steffi Graf melakukannya pada 1988, akan menentang Vitalia Diatchenko dari Rusia pada hari pertama, berkemungkinan di Stadium Arthur Ashe dan mungkin pada sebelah malam hari pembukaan.

Williams, yang masih segar de­ngan kejayaan memenangi empat kejohanan utama berturut-turut di Wimbledon bulan lalu, memburu gelaran ke-22 dalam perseorangan grand slam, untuk menyamai pencapaian Graf yang memegang rekod era Terbuka dan akan membolehkannya hanya berada dua kejayaan sahaja lagi untuk menyamai rekod sepanjang masa yang dipegang oleh Margaret Court.

Djokovic, yang mengidamkan mahkota kedua Terbuka AS, akan menentang Joao Souza dari Brazil dalam perlawanan pertama esok manakala bintang Sepanyol, Rafael Nadal akan menentang Borna Coric dari Croatia.

Pemain lain dalam kelompok atas lelaki ialah pilihan keempat dan naib juara tahun lalu Kei Nishikori, yang akan bertemu Benoit Paire dari Perancis manakala juara bertahan Marin Cilic, pilihan kesembilan dari Croatia, akan bermula dengan menentang Guido Pella dari Argentina.

Berada dalam kelompok yang sama dengan Williams ialah kakaknya Venus, juara grand slam tujuh kali, yang akan bertemu Monica Puig dari Puerto Rico dalam pusingan pertama.

Maria Sharapova dari Rusia, yang kalah dalam 18 pertemuan daripada 20 dengan Serena Williams, akan memulakan kempennya dengan menentang Daria Gavrilova dari Australia. Tiada masa tepat diberikan untuk sebarang perlawanan esok.

Pada tahun-tahun sebelum ini, jadual Terbuka AS menyaksikan pusingan pertama untuk peserta lelaki berlangsung selama tiga hari manakala separuh akhir lelaki dan akhir wanita berlangsung pada Sabtu.

ARTIKEL YANG SAMA