Serena julang trofi Cincinnati

Serena julang trofi Cincinnati

CINCINATI, 24 Ogos (Reuters) – Juara bertahan Serena Williams menyudahkan perlawanan pra Terbuka Amerika Syarikat (AS) dengan bergaya apabila berjaya mengalahkan pemain pilihan ketiga dari Romania Simona Halep 6-3 7-6(5) untuk memenangi kejohanan Terbuka Western & Southern kelmarin.

Bagi pemain nombor satu dunia itu, kemenangan Cincinati merupakan satu mesej bahawa dia sekarang berada dalam kondisi terbaik dan melihat untuk melengkapkan keempat-empat Grand Slam dalam satu kalendar pada Terbuka AS yang bermula 31 Ogos ini.

“Saya tidak kira jika menang, kalah atau seri,” kata Williams. “Saya bersedia untuk memulakan (Terbuka AS), menyelesaikannya dan pergi ke kejohanan seterusnya.”

Halep bermula dengan garang pada awalnya apabila berjaya mematahkan servis Williams pada permainan pertama, namun pemain Amerika yang akan berusia 34 tahun bulan depan itu, mengembalikan permainannya untuk memenangi lima game seterusnya pada set pertama.

Pada set terakhir, kedua-dua pemain berbalas mematahkan servis masing-masing namun Williams meningkatkan tahap permainannya dan menamatkan perlawanan tersebut dalam masa 99 minit.

Serena Williams ketika menjulang trofi Terbuka Western & Southern malam kelmarin. – AFP
Serena Williams ketika menjulang trofi Terbuka Western & Southern malam kelmarin. – AFP

“Saya berusaha untuk terus berjuang,” kata Halep, sekarang kalah enam perlawanan daripada tujuh perlawanan menentang Williams. “Ia bukan mudah untuk mengembalikan servisnya. Saya mempunyai peluang untuk mematahkan servisnya, tetapi dia membuat servis dengan begitu baik pada saat-saat penting.”

Halep yang juga kalah pada perlawanan akhir Toronto minggu lepas, akan mengambil tempat kedua dalam ranking dunia.

Ia menandakan trofi kelima tahun ini bagi Williams berikutan kemenangannya pada Terbuka Australia, Miami dan Terbuka Perancis serta Wimbledon.

Kemenangan itu juga merupakan trofi ke-69 buat Williams sepanjang kerjayanya dan menaikkan dia di hadapan Evonne Goolagong dan menuju tempat kelima dalam senarai keseluruhan.