Serena jumpa kakak

Serena jumpa kakak

LONDON, 5 Julai (AFP) – Serena Williams mencipta pertembungan pusingan keempat Wimbledon dengan kakaknya Venus kelmarin sesudah melepasi kegetiran pusingan ketiga ketika Novak Djokovic dan Maria Sharapova mudah melangkah ke minggu kedua.

Pilihan utama Serena yang membida kejuaraan Wimbledon keenam dan sudah mengungguli separuh Grand Slam selepas memenangi Terbuka Australia dan Perancis, menundukkan pemain bukan pilihan Britain, Heather Watson 6-2, 4-6, 7-5 pada pertemuan getir di Gelanggang Utama.

Heather, pemain nombor 59 dunia, melakukan servis ketika mendahului 5-4 pada set terakhir namun perasaan gemuruh menafikannya dalam usaha mengatasi pemain Amerika berusia 33 tahun itu yang menjadi idolanya semasa kecil.

“Saya pernah mengalami kekalahan sukar tapi ini mungkin perlawanan paling sukar menentang Heather di depan penyokongnya sendiri,” kata Serena yang memburu gelaran Grand Slam ke-21.

Venus yang juga menang lima kali dan beraksi di Wimbledon kali ke-18, layak ke pusingan keempat dengan kemenangan 6-3, 6-2 ke atas pemain Serbia, Aleksandra Krunic. Serena akan berdepan kakaknya yang berusia 35 tahun esok buat kali pertama pada acara Grand Slam sejak mengalahkannya pada final Wimbledon 2009.

Williams bersaudara akan bertemu pada pusingan keempat Wimbledon selepas masing-masing berjaya melepasi pusingan ketiga semalam. – Reuters
Williams bersaudara akan bertemu pada pusingan keempat Wimbledon selepas masing-masing berjaya melepasi pusingan ketiga semalam. – Reuters

“Venus beraksi lebih baik berbanding saya jadi dia mempunyai sedikit kelebihan pada perlawanan itu tapi sekurang-kurangnya salah seorang daripada kami akan ke suku akhir,” ujar Serena.

Pilihan utama Djokovic mara ke pusingan 16 terakhir buat kali ketujuh berturut-turut selepas membenam Bernard Tomic dari Australia 6-3, 6-3, 6-3 menerusi 15 aces dan 38 winners.

Pilihan keempat Maria, juara 2004, melangkah ke pusingan berikutnya dengan kemenangan 6-4, 6-3 ke atas pemain Romania, Irina-Camelia Begu dan akan menentang pemain bukan pilihan Zarina Diyas dari Kazakhstan bagi memburu tempat ke suku akhir.

Pemain Australia, Nick Kyrgios yang menundukkan Rafael Nadal pada 2014 ketika dia menduduki ranking ke-144 dunia, membalas dendam kekalahannya pada suku akhir 12 bulan lalu kepada pilihan ketujuh Milos Raonic apabila menang 5-7, 7-5, 7-6 (7/3), 6-3.

ARTIKEL YANG SAMA