Serena kecewakan kakak

Serena kecewakan kakak

LONDON, 7 Julai (Agensi) – Pemain tenis wanita No. 1 dunia, Serena Williams hanya tiga langkah lagi untuk merangkul kejuaraan Grand Slam keempat berturut-turut apabila mudah menewaskan kakaknya, Venus Williams, 6-4, 6-3 untuk mara ke suku akhir Wimbledon, semalam.

Pertarungan yang sepatutnya menjadi perlawanan epik antara dua beradik bertukar menjadi anti klimaks apabila Serena hanya mengambil masa 67 minit untuk mencatat kemenangan.

Serena bermula dengan meyakinkan apabila mengutip lapan mata berturut-turut dan melakukan 10 ace untuk memudahkan kemenangannya ke atas Venus, 35.

“Memang sukar untuk saya jelaskan perasaan ini apabila menewaskan seseorang yang cukup rapat dan menjadi rakan baik sepanjang masa. Bukan mudah untuk berdepan orang yang kita sayang dan sentiasa mengambil berat.

“Namun saya tidak tahu berapa banyak kali lagi saya akan berdepan situasi sebegini dan saya merancang untuk bermain dalam tempoh beberapa tahun.

Serena (kiri) memeluk Venus sejurus selepas menewaskan kakaknya dalam pusingan keempat Wimbledon, semalam. – Reuters
Serena (kiri) memeluk Venus sejurus selepas menewaskan kakaknya dalam pusingan keempat Wimbledon, semalam. – Reuters

“Anda tidak tahu berapa kali lagi kami akan menentang sesama sendiri,” kata Serena yang berazam mahu mencipta sejarah menjadi pemain wanita pertama memenangi Terbuka Perancis dan Wimbledon berturut-turut.

Pemain sensasi Amerika Syarikat itu dijadual berdepan sama ada bekas pemain No. 1 dunia, Victoria Azarenka dari Belarus atau pemain berbakat Swtizerland, Belinda Bencic.

Sementara itu, naib juara Terbuka Perancis, Lucie Safarova dari Republik Czech menjadi menjadi mangsa kejutan terbaru apabila disingkir oleh pilihan dari Amerika Syarikat, Coco Vandeweghe 6-7, 6-7.

Vandeweghe, 23, yang berada di ranking ke-47 dunia mempamer permainan menarik untuk mengecewakan pilihan keenam kejohanan itu dan mara ke suku akhir Grand Slam buat kali pertama.

Dia kini akan berepan pilihan keempat dari Rusia, Maria Sharapova yang menewaskan Zarina Diyas dari Kazakhstan 6-4, 6-4.

Turut meneruskan kemaraan ke suku akhir pilihan ke-13 dari Poland, Agnieszka Radwanska yang menyingkirkan pemain veteran Serbia, Jelena Jankovic 7-5, 6-4.