Serena kejar sejarah

Serena kejar sejarah

NEW YORK, 27 Ogos (AFP) – Pemain tenis nombor satu dunia Serena Williams merasakan tekanan mengejar sejarah di Terbuka AS tetapi dia menerima semua itu sebagai harga yang harus dibayar untuk mendominasi generasi tenis wanita.

Pemain AS berusia 33 tahun itu, yang menjulang gelaran Grand Slam pertama pada Terbuka AS 1999 pada usia 17 tahun, adalah pilihan ramai untuk edisi kali ini ketika beliau cuba untuk melengkapkan kalendar Grand Slam sejak Steffi Graf pada 1988.

“Saya mengambil keputusan untuk menghadapi tekanan berbanding tekanan untuk berputih mata,” kata Williams. “Bukan semua orang boleh mengendalikan tekanan tetapi saya OK dengannya. Saya lebih suka berada dalam kedudukan ini.”

Namun, tanpa diragui Williams tidak sabar-sabar untuk menyaksikan reka bentuk beliau di pertunjukan fesyen New York beberapa hari selepas Terbuka AS. Pada masa itu, perjuangan Grand Slam sudah berakhir baik anda menang atau kalah.

“Saya sudah sedia. Saya benar-benar bersedia,” kata Williams. “Saya tidak peduli jika saya menang, kalah atau balik modal. Saya bersedia untuk memulakannya dan melangkah ke acara seterusnya.”

Serena Williams menandatangani autograf selepas menentang Karin Knapp pada hari kelima Cincinnati Masters di Ohio, 20 Ogos lalu. – AFP
Serena Williams menandatangani autograf selepas menentang Karin Knapp pada hari kelima Cincinnati Masters di Ohio, 20 Ogos lalu. – AFP

Williams berusaha untuk menjulang gelaran keempat Terbuka AS selepas memenangi Terbuka Perancis, Australia dan Wimbledon serta acara gelanggang keras tahun ini di Miami dan Cincinnati – acara pemanas badan terakhir Terbuka AS di mana beliau menewaskan Simona Halep pada final untuk mahkota kerjayanya yang ke-69.

“Ia memberikan saya keyakinan untuk mengetahui apa yang saya telah usahakan beberapa minggu berjalan dengan baik,” kata Williams.

“Ia juga membuatkan saya sedar dengan perasaan untuk menang. Saya suka perasaan itu dan mahu bekerja keras.”

Williams telah memenangi enam gelaran Wimbledon, Terbuka AS dan Terbuka Australia dan tiga mahkota Terbuka Perancis untuk mendekati rekod Era Terbuka Steffi Graf (sejak 1968) dengan 22 trofi perseorangan Grand Slam dan hanya dalam jarak tiga gelaran untuk mengatasi rekod sepanjang masa Margaret Court dari Australia (24).

ARTIKEL YANG SAMA