Serena lakar sejarah

Serena lakar sejarah

LONDON, 12 Julai (AFP) – Serena Williams menjadi pemain wanita paling tua meraih kejuaraan Grand Slam selepas merekod kemenangan 6-4, 6-4 ke atas Garbine Muguruza untuk muncul juara kejohanan tenis Wimbledon buat kali keenam dan itu merupakan kejayaan ke-21 buatnya dalam kejohanan utama.

Bintang Amerika Syarikat (AS) itu berjaya melengkapkan “Serena Slam” dengan merangkul kesemua empat trofi kejohanan utama dengan hanya perlu mempertahankan kejuaraan Terbuka AS untuk menyempurnakan kalendar Grand Slam.

Pada usia 33 tahun 289 hari, William mengatasi Martina Navratilova untuk menjadi pemain tertua merangkul kejua­raan Wimbledon dalam era Kejohanan Terbuka.

Kejayaan Wimbledon keenam itu menjadikannya salah seorang pemain wanita terbaik sepanjang zaman. Williams menjadi pemain wanita pertama merangkul kejuaraan Terbuka Perancis dan Wimbledon secara berturut-turut sejak kali terakhir me­lakukannya pada 2002.

Selepas me­rangkul trofi Venus Rosewater Dish pada 2012, Williams kini hanya perlu mempertahankan kejua­raan Terbuka AS untuk menjadi pemain wanita pertama selepas Steffi Graf pada 1988 untuk melengkapkan kalendar Grand Slam.

Serena bersama trofi Wimbledon selepas menumpaskan Garbine Muguruza dalam perlawanan akhir semalam. – Reuters
Serena bersama trofi Wimbledon selepas menumpaskan Garbine Muguruza dalam perlawanan akhir semalam. – Reuters

Pemain No.1 dunia itu kini memerlukan satu lagi gelaran Grand Slam untuk menyamai rekod Graf. Williams merupakan pemain pertama berjaya mengulangi pencapaian Graf yang menjuarai Wimbledon, Terbuka Australia dan Terbuka Perancis pada 1988.

Dengan rekod kemenangan 39-1 tahun ini, ramai menjangkakan pemain AS itu akan terus mencipta kejayaan di New York, bulan depan.

“Saya bagaikan tidak percaya, berdiri di sini bersama satu lagi Serena Slam. Ia sangat hebat. Perlawanan ini amat menyeronokkan. Ia satu penghormatan buat saya dapat berada di tempat yang hebat ini sejak sekian lama,” kata Serena.

Meskipun tewas, Muguruza, 21, menjadi pemain muda yang paling menyerlah dalam siri jelajah WTA.

ARTIKEL YANG SAMA