Serena laung amaran

Serena laung amaran

LONDON, 8 Julai (AFP) – Serena Williams melaungkan amaran kepada Maria Sharapova menjelang pertemuan separuh akhir mereka pada Kejohanan Wimbledon, di sini, dengan menyatakan betapa dia bakal mempamerkan persembahan terbaik menentang musuh ketatnya itu nanti.

Serena dan Sharapova bakal berentap pada Khamis ini – dalam satu lagi pertarungan membabitkan dua seteru yang bermula di gelanggang utama pada 2004 dan terus membara lebih sedekad selepas itu.

Sharapova sebelum ini melakukan kejutan paling besar dalam sejarah Kejohanan Wimbledon kira-kira 11 tahun lalu, tatkala ketika usianya hanya 17 tahun, apabila menewaskan Serena pada final untuk merangkul gelaran pertama saingan Grand Slam.

Serena pula sudah pun memenangi semua empat pertemuan separuh akhir menentang Sharapova, selain menjinakkan lawannya dari Rusia itu dalam saingan Wimbledon pada saingan 16 terbaik 2010 serta menewaskannya pada final Olimpik 2012 di gelanggang All England Club.

Serena Williams ketika menewaskan Victoria Azarenka untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Wimbledon semalam. – AFP
Serena Williams ketika menewaskan Victoria Azarenka untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Wimbledon semalam. – AFP

Sebelum mara bertemu Sharapova, Serena mengetepikan cabaran Victoria Azarenka 3-6, 6-2, 6-3 pada peringkat suku akhir.

Sementara itu, Sharapova mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2011, selepas menundukkan Coco Vandeweghe 6-3, 6-7 (3/7), 6-2.

Satu lagi saingan separuh akhir wanita adalah antara pilihan ke-20 dari Sepanyol, Garbine Muguruza dan pilihan ke-13 dari Poland, Agnieszka Radwanska.

ARTIKEL YANG SAMA