Serena, Nadal, Joker buru 16 tempat terakhir

Serena, Nadal, Joker buru 16 tempat terakhir

NEW YORK, 4 Sept (AFP) – Pemain No.1 dunia Serena Williams dipaksa berhempas pulas untuk menghidupkan peluang mencipta sejarah, sementara Novak Djokovic dan Rafael Nadal turut menyertai bintang tenis Amerika Syarikat (AS) itu ke pusingan ketiga Terbuka AS semalam.

Williams, yang berusaha melengkapkan kalendar grand slam buat kali pertama sejak Steffi Graf berbuat demikian pada 1988, menewaskan pemain Belanda yang menghuni ranking ke-110 dunia Kiki Bertens 7-6 (7/5), 6-3 di Stadium Arthur Ashe, meskipun melakukan 34 kesilapan mudah dan 10 double fault.

“Saya cuma terus berjuang untuk mendapat mata demi mata, tidak banyak tetapi satu demi satu. Sebelum ini saya bermain terlalu santai. Jadi hari ini (semalam) saya berasa sedikit tertekan. Harap dapat kembali bermain seperti sebelum ini,” kata Williams. Pemain berusia 33 tahun itu sedang berusaha untuk menyamai rekod yang dicipta Graf pada Era Terbuka dengan merangkul 22 gelaran grand slam dan mencatat rekod kemenangan Terbuka AS buat kali ketujuh.

Juara bertahan itu, yang memenangi Terbuka AS sebanyak tiga kali berturut-turut, juga dijangka muncul pemain wanita paling tua yang merangkul gelaran juara grand slam. Lawan yang menanti Williams dalam pusingan seterusnya ialah rakan senegara Bethanie Mattek-Sands, yang menumpaskan seorang lagi wakil tuan rumah CoCo Vandeweghe 6-2, 6-1. Pilihan kelapan Nadal, yang merupakan juara grand slam sebanyak 14 kali, mengetepikan pencabar dari Argentina, Diego Schwartzman 7-6 (7/5), 6-3, 7-5.

Pemain Sepanyol itu ketinggalan 4-5 dalam set pertama, sebelum bangkit untuk menundukkan Schwartzman dan kekal dalam laluan untuk bertemu pilihan pertama Djokovic, yang menewaskan Andreas Haider-Maurer dari Austria 6-4, 6-1, 6-2.

ARTIKEL YANG SAMA