Serena pecah rekod Federer

Serena pecah rekod Federer

NEW YORK, 6 Sept – Serena Williams mencatatkan satu lagi rekod awal pagi tadi apabila merakamkan kemenangan ke-308 Grand Slam sekali gus melepasi rekod Roger Federer untuk kemenangan terbanyak dalam kejohanan utama.

“Ia sangat mengujakan,” kata Serena yang turut menempah tiket ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) hasil kemenangan berkenaan.

“Di sinilah semua bermula, jadi ia sentiasa menakjubkan untuk saya – merekodkan kemenangan ke-308 bunyinya agak menarik”.

Serena tidak berdepan masalah besar untuk mengatasi cabaran pemain ranking ke-52, Yaroslava Shvedova apabila menang 6-2, 6-3 sekali gus melebarkan rekod kemenangan ke atas pemain Kazakhstan itu kepada 5-0.

Serena Williams berjabat dengan lawannya pada akhir perlawanan tersebut. – AFP
Serena Williams berjabat dengan lawannya pada akhir perlawanan tersebut. – AFP

Walaupun diselubungi masalah kecederaan bahu yang menghantuinya ketika Olimpik Rio 2016, dia jelas belum dicabar sejak tiba di Flushing Meadows – tempat yang menyaksikan dia muncul juara Terbuka AS buat kali pertama pada 1999.

Jika muncul juara kali ini, ia akan menjadi gelaran ketujuh buat Serena sekali gus mengatasi rekod yang dikongsinya bersama Chris Evert.

Ia juga menyaksikan dia memecahkan rekod dalam saingan era terbuka yang dikongsinya bersama Steffi Graf dengan 22 gelaran.

Serena akan bertemu Simona Halep bagi perebutan tempat ke separuh akhir selepas pemain pilihan kelima itu mengatasi Carla Suarez Navarro 6-2, 7-5. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA