Serena sedia bagi Terbuka Australia

Serena sedia bagi Terbuka Australia

MELBOURNE, 13 Jan (AFP) – Pemain nombor satu dunia Serena Williams menegaskan bahawa dia dalam keadaan cergas dan sedia untuk menjulang gelaran Terbuka Australia ketujuh, yang sebelum ini memaksanya untuk menarik diri dari Piala Hopman.

Pemain nombor satu dunia itu menarik diri akibat kesakitan pada lutut kirinya ketika perlawanan perseorangan pada 6 Januari di kejohanan pasukan campuran di Perth, menimbulkan keraguan terhadap keupayaannya untuk mempertahankan gelarannya pada pembukaan Grand Slam musim ini.

Namun pemain berusia 34 tahun itu memberitahu akhbar Melbourne Herald Sun bahawa dia “sudah bersedia”.

“Badan saya terasa sangat baik sekarang,” ujarnya.

“Secara jelasnya saya mempunyai gangguan namun sekarang saya rasa bertambah baik. Saya melakukan latihan dalam beberapa hari dan nampaknya semakin baik.”

Serena Williams dijangka bersedia bagi Terbuka Australia yang mula pulih daripada kecederaan. – Reuters
Serena Williams dijangka bersedia bagi Terbuka Australia yang mula pulih daripada kecederaan. – Reuters

Serena, yang menghadapi masalah lutut pada separuh akhir tahun 2015 dan jarang bermain sejak Oktober, melakukan latihan di Melbourne Park baru-baru ini.

“Saya tahu apa yang saya perlu lakukan di dalam dan di luar gelanggang untuk memenangi kejohanan-kejohanan besar,” dia menambah dalam kenyataan akhbar itu pada lewat Isnin. “Itulah yang saya suka lakukan.”

Ketika penarikan dirinya di Perth, Williams berkata: “Saya hanya menghadapi beberapa keradangan yang semakin hilang secara perlahan.

“Ia masih ada, ia semakin pulih, namun memerlukan sedikit masa. Sedikit rehat, dan sedikit rawatan.”

Melboune Park merupakan tempat selesa yang digunakan oleh pemenang gelaran utama 21 kali itu untuk melakukan latihan.

Dia memenangi Terbuka Australia buat pertama kali pada 2003, dan menjadikannya gelaran keenam tahun lepas apabila dia menewaskan pesaing terdekatnya Maria Sharapova pada perlawanan akhir.

Williams mendominasi tenis wanita tahun lepas, memenangi tiga Grand Slam (Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Wimbledon) dan memenangi 53 dari 56 perlawanan yang dimainkannya.

Dia dalam perjalanan untuk melengkapkan keempat-empat Grand Slam sehingga dia ditewaskan oleh pemain Itali Roberta Vinci di separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat pada awal September.