Serena, Stosur sasar final Terbuka Perancis

Serena, Stosur sasar final Terbuka Perancis

PARIS, 3 Jun – Serena Williams dan Samantha Stosur, masing-masing memburu kemenangan sebagai pemain yang berusia 30 tahun ke atas apabila beraksi dalam aksi separuh akhir Terbuka Perancis, hari ini.

Pemain berusia 34 tahun dari Amerika Syarikat, Serena akan menjadi pemain paling tua muncul juara jika dia merekodkan gelaran keempat, esok.

Bagaimanapun, dia perlu berdepan cabaran daripada pemain bukan pilihan dari Belanda, Kiki Bertens.

Stosur, 32, pula memburu final keduanya di Terbuka Perancis selepas 2010 namun dia perlu menewaskan pemain Sepanyol, Garbine Muguruzu.

Serena hampir menyaksikan buruan gelaran juara bagi menyamai rekod kejuaraan sebanyak 22 kali Grand Slam musnah apabila dia diberi tentangan se-ngit sebelum menang 5-7, 6-4, 6-1 mengatasi Yulia Putintseva dalam aksi suku akhir, awal pagi tadi.

“Ya, saya tidak bermain pada tahap terbaik saya.

Saya banyak terlepas peluang. Secara jujurnya, pada satu ketika saya sudah tidak dapat melihat ada sinar di hujung terowong.

Saya tidak pasti, saya fikir saya tidak berfikir secara positif tetapi saya tidak berhenti begitu saja,” kata Serena selepas perlawanan.

Katanya, Bertens akan menjadi satu lagi cabaran getir biarpun lawannya di separuh akhir itu berada di kedudukan ranking bawah dunia.

Sementara itu, Stosur adalah pemain veteran selama 15 tahun dalam sirkit WTA dan memenangi Terbuka AS 2011 dengan menewaskan Serena dalam aksi final tetapi sekadar muncul naib juara di Rolland Garros setahun kemudian.

Muguruzu muda 10 tahun berbanding dirinya dan pencapaian terbaiknya adalah mara ke final Wimbledon tahun lalu sebelum tewas kepada Serena. – AFP

 

ARTIKEL YANG SAMA