Serena tarik diri lagi

Serena tarik diri lagi

TORONTO, 17 Feb – Serena Williams terlepas dua kejohanan berturut-turut selepas sekali lagi tidak dapat beraksi pada kejohanan Terbuka Qatar yang bakal membuka tirainya, minggu depan.

Pemain nombor satu dunia yang juga naib juara Terbuka Qatar 2013 selepas kecundang di tangan Victoria Azarenka adalah pilihan utama kejohanan yang berlangsung dari 21 hingga 27 Februari di Doha itu.

“Saya kurang bernasib baik kerana terpaksa menarik diri kerana saya mengidap selesema dan tidak berada pada keadaan terbaik saya,” kata Serena menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak penganjur.

“Saya perlukan masa untuk sembuh tetapi saya tetap akan kembali ke Doha untuk bertemu dengan peminat saya.”

Pemain berusia 34 tahun itu mengumumkan bahawa dia bakal terlepas Kejohanan Dubai yang sedang berlangsung juga kerana selesema, minggu lalu.

Serena terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi pada kejohanan Terbuka Qatar yang bakal membuka tirainya minggu depan. – Reuters
Serena terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi pada kejohanan Terbuka Qatar yang bakal membuka tirainya minggu depan. – Reuters

Serena belum lagi beraksi dalam mana-mana pertandingan selepas dia dikejutkan Angelique Kerber pada perlawanan akhir Terbuka Australia, bulan lalu.

Penarikan diri pemain nombor satu dunia itu memberi tamparan hebat kepada penganjur terutamanya selepas satu lagi bintang tenis, Maria Sharapova juga sudah menarik diri berikutan kecederaan pada lengannya. – Reuters